Oleh: Ahmad Shazwi Ahmad Shukri & Nurin Jaaffar

Tanjong Malim, 8 Januari 2025– Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membuka tirai 2025 dengan menganjurkan sebuah program untuk mencetuskan celik akal mengenai kepentingan prestasi akademik dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Program yang berfokuskan kesedaran ini telah dijalankan di Bilik Seminar Raflesia, Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah.  

Program berorientasikan ceramah dan aktiviti ini telah dijalankan terhadap 40 pelajar UPSI yang terpilih. Melalui program yang telah dirancang, peserta berpeluang mengenali diri dan kekuatan diri serta mengalami sendiri asas Mind Setting yang dikendalikan oleh penceramah dan barisan fasilitator.

Penceramah jemputan menampilkan Nurin Jaaffar dan dibantu fasilitator dari Kelab PEMADAM UPSI. Penceramah telah berjaya mengendalikan sesi dengan menjadikan kesemua peserta aktif dan bersemangat sepanjang program. Slot yang paling digemari pelajar adalah slot Art Theraphy yang membantu peserta mengenali diri menggunakan pendekatan yang lebih menarik dan dinamik.

“Art Theraphy menjadikan saya leka dengan kembali ke zaman kanak-kanak dan tanpa sedar saya telah mengekspresikan diri saya menggunakan pendekatan ini,” kata salah seorang peserta program ini.

Program ini turut dilengkapi dengan sesi soal jawab di antara peserta dan panel penceramah. Sesi ini telah menarik perhatian kerana jumlah persoalan yang banyak serta persoalan yang dilontarkan menggambarkan situasi sebenar dan pandangan warga UPSI mengenai isu ini. Segala persoalan ini secara tidak langsung menggambarkan input yang telah diperolehi peserta sepanjang program ini berlangsung

Program Pembangunan Akademik ini telah menunjukkan komitmen Pusat Kaunseling UPSI dalam membantu mahasiswa meningkatkan kecemerlanghan akademik sekaligus menyokong aspirasi UPSI membentuk mahasiswa BITARA.