Oleh: Dr. Yusnita Juahir, Nur Raudhah Mohd Shofi dan ChM. Dr. Mohamad Idris Saidin

Tanjong Malim, 9 Februari 2025 – Program Penasihatan Akademik bagi pelajar Diploma Teknologi Makmal (DTM) ambilan Sesi 1 2024/2025 Fakulti Sains dan Matematik (FSM) menjadi lebih istimewa dan interaktif dengan penganjuran FunLEAD, yang diadakan di sekitar Tasik Proton City.

FunLEAD iaitu Fun Learning, Ethics, and Academic Development yang berteraskan tiga elemen utama iaitu Adab, Akhlak, dan Akademik bukan sahaja menjadi platform bimbingan akademik, malah turut membentuk keperibadian unggul dalam kalangan pelajar.

Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 23 pelajar Semester 2 di bawah bimbingan Penasihat Akademik mereka, Dr. Yusnita Juahir.

Dr. Yusnita Juahir (Pensyarah) dan Nur Raudhah Binti Mohd Shofi (Pengarah Program) bersama pelajar DTM ambilan E241 semasa sesi Penasihatan Akademik di Tasik Proton City, Tanjung Malim

Program Teknologi Makmal merupakan salah satu program Diploma Fakulti Sains dan Matematik yang diletakkan di bawah pemantauan Jabatan Kimia.

Selain dari Penasihat Akademik, Penyelaras Program DTM iaitu ChM. Dr. Mohamad Idris Saidin juga bertanggungjawab memastikan semua pelajar berada dalam struktur pengajian mengikut laluan (track) dan tempoh yang betul. 

Program ini merupakan satu usaha untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan persefahaman dalam kalangan pelajar dan Penasihat Akademik, selain fungsi utamanya iaitu menasihati pelajar dalam hal-hal berkaitan akademik dan pembentukan sahsiah.

Sesi senamrobik yang dibimbing oleh pelajar; Nicole Elvyna Laim dan Brittania Grace Tan Min Min

Ia selari dengan konsep kebitaraan yang masih dikekalkan dalam Aspirasi UPSI 2025 iaitu menghasilkan Model Pelajar UPSI dengan mementingkan Adab, Akhlak dan Akademik dalam kalangan graduan.

Dalam penasihatan akademik oleh Dr Yusnita Juahir, beliau mengingatkan para pelajar untuk mengikuti dan memahami semua panduan yang dinyatakan dalam KAEDAH UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (PERKARA AKADEMIK) 2008 PERINGKAT DIPLOMA (PINDAAN 2024).

Ini termasuklah yang berkaitan dengan pentingnya melaksanakan pendaftaran semester, tambah (add) dan gugur (drop) kursus mengikut tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan hilang status pelajar dan denda berbayar agar bergaduat mengikut tempoh yang telah dicadangkan.

Selain itu amaran keras mengenai pelanggaran peraturan dalam dewan peperiksaan juga ditekankan agar pelajar tidak melakukan kecurangan akademik.

Keceriaan para pelajar sebelum memulakan permainan funLEAD

Menambah elemen keseronokan dalam program ini, pelbagai aktiviti menarik telah disusun dalam lima checkpoint yang mencabar kecerdasan, ketangkasan, dan daya saing pelajar. Antara cabaran yang menguji kemahiran mereka termasuk; “Jom Kenal Siapa Pentadbir Urus FSM dan Jabatan Kimia”, “Do’s and Don’ts: Perkara Akademik”, “Crossword Puzzle:BITARA”, “Peta KampusKu sekitar FSM” dan “Lucky Ball Shot”.

Selain meningkatkan pemahaman akademik, aktiviti ini turut memberi pengalaman yang menyeronokkan sambil menikmati keindahan Tasik Proton City.

Permainan FunLEAD: “Jom Kenal Siapa Pentadbir Urus FSM dan Jabatan Kimia” di Checkpoint 1
Permainan FunLEAD: “Jom Kenal Siapa Pentadbir Urus FSM dan Jabatan Kimia” di Checkpoint 1

Ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 3 (Gaya Hidup Sihat), SDG 4 (Pembangunan Potensi Pelajar), dan SDG 11 (Pembentukan Komuniti Aktif).

.Oleh yang demikian, program seumpama ini wajar diteruskan kerana memberikan ruang kepada penasihat akademik untuk mengenali serta memahami cabaran yang dihadapi pelajar mereka.

Dengan pertemuan berkala sekurang-kurangnya tiga kali dalam satu semester, penasihat akademik dapat membantu pelajar dalam menilai pencapaian akademik dan perkembangan mereka, sekaligus membimbing mereka ke arah kejayaan yang lebih cemerlang.

Wajah ceria para pelajar DTM bersama hadiah masing-masing selepas berakhirnya Program FunLEAD

Dengan penerapan Adab, Akhlak, dan Akademik dalam program ini, diharapkan para pelajar dapat menghayati nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian dan menjadi graduan UPSI yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah memiliki peribadi yang terpuji dan berintegriti.