Oleh: Dr. Muhamad Safuan Mat Yeng @ Mat Zin dan Dr. Siti Nursaila Alias

TANJONG MALIM, 23-24 Januari 2025 – Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Ceramah dan Bengkel Pengujian Tanpa Musnah (Non-Destructive Testing, NDT) dengan kerjasama NDE Consultancy Services Sdn. Bhd. di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah. Program ini dihadiri oleh pengurusan FSM, pensyarah FSM, pelajar Diploma Sains, Diploma Teknologi Makmal, serta pelajar dari Kolej Vokasional Slim River. Dekan Fakulti Sains dan Matematik Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah hadir dan merasmikan program tersebut.

Ceramah telah disampaikan oleh Tuan Saharudin Kambari, Profesor Adjung Jabatan Fizik dan Pengerusi Eksekutif NDE Consultancy Services Sdn. Bhd. Beliau memiliki kepakaran luas dalam bidang Pengujian Tanpa Musnah, khususnya dalam teknik-teknik pengujian, latihan kompetensi dan persijilan, serta penglibatan aktif dalam industri ini di Malaysia. Ceramah ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar serta hadirin mengenai bidang Pengujian Tanpa Musnah dan prospek kerjaya dalam industri tersebut. Pameran berkaitan teknologi dan latihan turut diadakan.

Bengkel Pengujian Tanpa Musnah turut diadakan dengan penyertaan pelajar semester lima Diploma Sains dan Diploma Teknologi Makmal, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI. Mereka diberikan pendedahan teori serta latihan amali secara langsung oleh jurulatih dari NDE Consultancy Services Sdn. Bhd. Antara teknik Pengujian Tanpa Musnah yang dberikan termasuk Liquid Penetrant Testing, Magnetic Particle Testing, Ultrasonic Testing danRadiographic Testing.

Program ini diharapkan dapat memberikan nilai tambah khususnya dalam memperkukuh ilmu pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam bidang Pengujian Tanpa Musnah selaras dengan keperluan industri. Di samping itu, Jabatan Fizik, FSM UPSI komited untuk membangunkan bidang Pengujian Tanpa Musnah di Mualim melalui kerjasama strategik dan bersepadu bersama pihak NDE Consultancy Sdn. Bhd. Semoga kerjasama yang terjalin ini dapat menjadikan Universiti Pendidikan Sultan Idris menjadi pemacu dalam pendidikan dan kerjasama industri berkaitan bidang Pengujian Tanpa Musnah di Malaysia.