Oleh: Willy Stopacarry, Nurin Atifah, Nor Asifin, Brenda Briel & Prof. Madya Dr. Syakirah Samsudin
Tanjung Malim, 4 Januari 2025– Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko pengambilan gula berlebihan, sekumpulan pelajar daripada kursus SBF3033 Animal Physiology Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program SULAM War On Sugar. Program ini merupakan kerjasama antara pelajar Kumpulan A dan C kursus SBF3033 Animal Physiology bersama Klinik Kesihatan Tanjong Malim, dengan tujuan utama iaitu bagi meningkatkan pemahaman komuniti tentang kesan pengambilan gula berlebihan terhadap fisiologi badan manusia, meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti mengenai risiko penyakit yang berkaitan dengan pengambilan gula yang berlebihan. Di samping itu, tujuan utama program ini juga adalah untuk membantu komuniti mengetahui cara mudah untuk mengurangkan pengambilan gula dan akhir sekali membentuk perubahan tingkah laku yang berkekalan dengan mempromosikan tabiat pemakanan yang lebih sihat.

Pelajar-pelajar SBF3033 Animal Physiology Kumpulan A dan C (A242) telah berkongsi dan menyediakan pelbagai kandungan menarik di Facebook dan TikTok untuk memberi kesedaran kepada komuniti yang bermula pada pertengahan bulan Disember. Bahan yang dikongsi berbentuk poster informatif, infografik penuh fakta, dan video kesedaran kreatif yang menginspirasikan. Semua ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada komuniti tentang betapa pentingnya mengawal pengambilan gula demi kesihatan yang lebih baik.

Forum War On Sugar secara hibrid berlangsung di mana sesi bersemuka dengan para pelajar yang terlibat dengan SULAM dan kepada komuniti secara dalam talian melalui platform Google Meet dengan menampilkan panel jemputan terdiri daripada pakar dietetik, pakar pemakanan, dan pakar perubatan. Forum ini merupakan salah satu aktiviti utama di bawah program ini. Antara topik yang dibincangkan adalah kuantiti gula yang diperlukan dalam badan seseorang individu setiap hari yang diterangkan oleh Pegawai Sains Pemakanan KK Slim River, Ili Dalila Tajudin. Seterusnya ialah simptom-simptom awal diabetes yang telah diterangkan oleh Dr. Nur Hamizah yang merupakan Pegawai Perubatan KK Tanjong Malim. Nadirah yang merupakan Pegawai Dietetik KK Tanjong Malim telah berkongsi tentang punca-punca yang mendorong seseorang individu mengambil gula secara berlebihan. Mereka juga telah mencadangkan strategi untuk mengurangkan pengambilan gula dalam diet harian.

Menurut Prof. Madya Dr. Syakirah Samsudin selaku pensyarah penasihat, program ini bertujuan membantu komuniti memahami cabaran dan kesan negatif gula berlebihan terhadap kesihatan, selain memberi panduan amalan gaya hidup sihat.
Adam Fitri, selaku pengarah program, menyatakan bahawa program ini menyasarkan pelajar universiti dan komuniti setempat. “Kami berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kawalan pengambilan gula dan mendorong komuniti untuk mengamalkan diet seimbang,” ujarnya.
Program War On Sugar ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak dan dilihat sebagai langkah proaktif ke arah membentuk komuniti sihat. Pautan penyertaan forum boleh didapati melalui laman Facebook rasmi program.
Dengan slogan “Anda Makan Gula Atau Gula Makan Anda”, program ini bukan sahaja menyediakan ilmu bermanfaat, tetapi juga membuka ruang kepada komuniti untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar-pakar kesihatan dari Pusat Kesihatan Daerah Muallim.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook rasmi program SULAM War On Sugar dan di platform TikTok War On Sugar.


