Oleh: Pn. Nurin Jaaffar
TANJONG MALIM, 16 Mei 2026 – Menjadi generasi pertama dalam keluarga yang menjejakkan kaki ke menara gading adalah satu pencapaian yang membanggakan, namun ia hadir bersama tanggungjawab dan harapan yang besar.
Memahami cabaran emosi dan akademik yang dipikul oleh golongan perintis ini, Kelab PEMADAM dengan kerjasama Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil inisiatif proaktif menganjurkan program Xplore Talent Sulong: “Sustaining Excellence: Beyond Achievement” pada 12 hingga 13 Mei yang lalu.
Program yang sarat dengan pengisian bermakna ini menghimpunkan seramai 33 orang mahasiswa penerima biasiswa sulung yang cemerlang dengan pencapaian akademik 4.0. Di sebalik keputusan yang cemerlang tersebut, wujud keperluan mendesak untuk memastikan mereka mampu menguruskan emosi dan tekanan agar tidak terjerumus ke kancah kelesuan emosi (burnout) berikutan ketakutan kehilangan biasiswa sekiranya keputusan peperiksaan merosot.
Di bawah pimpinan Pengarah Program, Muhammad Alif Adha Bin Ahmad Sharol, inisiatif ini dirangka untuk memperkukuh daya tahan mental para pelajar, sekali gus menjamin kelangsungan kecemerlangan peribadi mereka di universiti.



Menerusi bimbingan teliti daripada Penceramah merangkap Penasihat Kelab PEMADAM UPSI, Puan Nurin Binti Jaaffar, para peserta didedahkan dengan pengisian berimpak tinggi meliputi teknik pengurusan tekanan, penjagaan kendiri, dan strategi menyeimbangkan kehidupan akademik.
Mesej yang diterapkan amat jelas; kecemerlangan yang sejati bukan sekadar diukur di atas kertas, tetapi melalui kemampuan mahasiswa membina kesejahteraan minda dalam mendepani setiap ujian kehidupan.
Modul komprehensif seperti Discovering the Best Version of You dan Mental Wellness for Future Leaders terbukti berjaya memugar kembali keyakinan diri para peserta, di samping mendidik mereka menguruskan kebimbangan serta isu terlalu banyak berfikir (overthinking).
Penganjuran program seumpama ini amat bertepatan dengan visi UPSI dalam membentuk graduan yang seimbang secara holistik, sambil mendokong hasrat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang merangkumi Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Kesaksamaan Gender (SDG 5), dan Mengurangkan Ketaksamaan (SDG 10).


Ia juga memperlihatkan komitmen utuh pihak universiti melalui Pusat Kaunseling di bawah naungan Dr. Pau Kee, yang sentiasa berusaha memastikan para pelajar dilengkapi dengan kemahiran kepimpinan dan persediaan emosi yang jitu sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Kembara sebagai anak sulung yang pertama memecah tradisi pendidikan tinggi keluarga sememangnya menuntut pengorbanan jiwa yang besar.
Namun, berbekalkan ilmu pengurusan kendiri dan perisai kecekalan mental yang terbina di sepanjang program ini, mahasiswa perintis ini tidak lagi bersendirian meredah badai cabaran. Semoga kebangkitan luar biasa mereka ini mampu menjadi suntikan inspirasi buat seluruh warga mahasiswa UPSI untuk tidak mudah menyerah kalah, sebaliknya terus bangkit berjuang melakar takdir gemilang melangkaui batas pencapaian akademik.

