oleh: Hilya Fadhlina Mohd Razali
TANJONG MALIM, 16 Mei 2026 – Exco Blok Kediaman 2, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan program Catch the Red Flag di KHAR Central, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program berbentuk explorace ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penghuni perempuan KHAR dengan penyertaan 12 kumpulan yang terdiri daripada empat hingga tujuh ahli setiap kumpulan. Program ini dianjurkan bagi memupuk semangat kerjasama, komunikasi efektif dan daya saing melalui aktiviti cabaran stesen yang interaktif serta menyeronokkan.
Sebelum explorace dimulakan, para peserta telah berkumpul di KHAR Central bagi mendengar taklimat serta ucapan alu-aluan daripada pihak penganjur.
Pengarah Program, Mursyliha Farisha Darussamin yang merupakan Exco Blok Kediaman 2 KHAR Sidang 2025/2026, menzahirkan rasa syukur atas sambutan peserta serta komitmen ahli jawatankuasa pelaksana dalam memastikan kelancaran program.



Menurut beliau, Catch the Red Flag diadakan sebagai ruang untuk mahasiswa keluar daripada zon selesa di samping membina keyakinan diri dan semangat kebersamaan melalui cabaran berkumpulan.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Felo Blok Kediaman 2, Puan Nurul Najwa binti Mohamad yang memberikan sokongan terhadap penganjuran program pembangunan sahsiah mahasiswa. Beliau berharap program seperti ini dapat mengeratkan hubungan sesama penghuni kolej serta melahirkan mahasiswa yang lebih aktif dan berketerampilan.
Sebelum aktiviti dimulakan, para peserta terlebih dahulu menyertai sesi senamrobik yang dikendalikan oleh AJK Aktiviti bagi memanaskan badan serta meningkatkan semangat peserta.


Sepanjang program berlangsung, para peserta telah melalui enam stesen yang mengandungi pelbagai cabaran unik seperti Belon Cawan, Protect the Tower, Run Bestie Run, Powdery, Sotong Buta dan Aurellian Fans.
Bagi mendapatkan bendera merah di setiap stesen, peserta perlu menyelesaikan permainan dengan pantas dan tepat sebelum mencari sendiri bendera yang telah disorokkan oleh ajk stesen di kawasan berdekatan.
Setiap aktiviti memerlukan strategi, komunikasi serta semangat kerjasama yang tinggi bagi memastikan cabaran dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Suasana di sekitar KHAR Central turut dipenuhi sorakan dan gelak tawa peserta yang menggambarkan semangat kesukanan sepanjang explorace dijalankan.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mencabar diri melalui aktiviti santai dan kompetitif, malah berjaya mengeratkan ukhuwah antara penghuni kolej.


Para peserta turut menerima mata CHAMP serta cap aktiviti KHAR sebagai penghargaan atas penglibatan mereka. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga turut membawa pulang hamper menarik selepas memperoleh markah tertinggi dalam explorace tersebut.
Program Catch the Red Flag berakhir pada jam 12.00 tengah hari dengan sesi penyampaian hadiah dan fotografi. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif penganjur dalam mewujudkan suasana kolej yang lebih aktif, positif dan harmoni melalui penglibatan mahasiswa dalam aktiviti sihat serta bermanfaat.
