oleh Tee Li Zhen dan Dr. Pau Kee

Tanjong Malim – Forum Across Border , Stronger Minds: Among Experience in Japan dilaksanakan dengan menjemput pelajar UPSI yang mempunyai pengalaman menyertai program luar negara. Sepanjang penglibatan tersebut, para peserta telah berhadapan dengan pelbagai kejutan budaya (culture shock) seperti proses penyesuaian diri dalam persekitaran baharu, perbezaan gaya pembelajaran, serta cabaran emosi akibat berjauhan daripada keluarga.

Pengalaman ini memberikan pendedahan yang bermakna terhadap realiti kehidupan antarabangsa, khususnya dari aspek kesejahteraan mental dan emosi. Sehubungan itu, perkongsian yang disampaikan oleh panel jemputan telah membuka ruang perbincangan yang lebih relevan dan konstruktif mengenai kaedah penyesuaian diri yang berkesan, serta pembinaan ketahanan diri sepanjang berada di luar negara.

Forum Across Borders, Stronger Minds: Among Experience in Japan dirancang dengan beberapa objektif utama yang berfokus kepada pembangunan kesejahteraan pelajar secara holistik. Antaranya termasuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi, khususnya melalui perkongsian pengalaman pelajar yang pernah menyertai program pertukaran antarabangsa.

Selain itu, program ini bertujuan mengenal pasti cabaran utama yang dihadapi,di samping meneliti implikasinya terhadap kesejahteraan diri. Seterusnya, program ini memberikan pendedahan dan panduan kepada peserta dalam membina ketahanan mental serta menyesuaikan diri dengan lebih efektif dalam persekitaran baharu.

Dr Pau Kee, pengarah Pusat Kaunseling , selaku perasmi program dalam ucapannya menekankan bahawa peserta program berpeluang memperoleh pendedahan bermakna melalui perkongsian pengalaman oleh pelajar yang pernah menyertai program pertukaran ke Jepun selama 2 minggu. Beliau menyatakan bahawa perkongsian tersebut memberikan penerangan jelas tentang bagaimana seseorang pelajar mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dalam tempoh yang singkat.

Beliau juga menjelaskan bahawa pengalaman berada di luar negara memerlukan disiplin yang tinggi, keberanian, pengurusan emosi serta keupayaan untuk keluar daripada zon selesa. Tambahan Pula, beliau berharap agar forum ini dapat membuka minda para peserta tentang realiti pengalaman antarabangsa serta membantu mereka membuat persediaan yang lebih menyeluruh dari segi mental, fizikal dan emosi.

Program ini menekankan bahawa pengalaman antarabangsa bukan sahaja memberikan pendedahan akademik, memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran adaptasi dan ketahanan diri dalam persekitaran baharu. Hal ini termasuk keperluan untuk berhadapan dengan cabaran seperti perbezaan budaya, komunikasi serta gaya kehidupan harian di luar negara.

Sebagai pengisian utama program, peserta telah mengikuti sesi perkongsian pengalaman oleh panel jemputan. Dalam sesi tersebut, peserta didedahkan kepada situasi sebenar yang dihadapi sepanjang berada di luar negara, khususnya dari aspek penyesuaian diri dalam persekitaran baharu. Antara perkara yang dikemukakan adalah cabaran halangan bahasa, memandangkan kebanyakan masyarakat Jepun tidak begitu fasih berbahasa Inggeris.

Melalui perkongsian ini, peserta dapat memahami bagaimana pelajar menggunakan kaedah komunikasi alternatif seperti bahasa isyarat, aplikasi terjemahan serta pendekatan kreatif lain bagi memudahkan urusan harian.

Selain itu, peserta juga didedahkan kepada pengalaman mengamalkan ibadah dalam konteks budaya yang berbeza, terutamanya berkaitan pengambilan wuduk. Perkongsian ini menarik perhatian peserta apabila dimaklumkan bahawa masyarakat Jepun amat menitikberatkan kebersihan dan tidak

menggalakkan lantai menjadi basah, sekali gus memerlukan pelajar menyesuaikan cara mereka mengambil wuduk dengan lebih berhati-hati. Panel juga berkongsi inisiatif mereka dalam mempelajari dan mengukuhkan penguasaan bahasa Jepun dengan memanfaatkan platform seperti YouTube dan sumber internet lain sebagai medium pembelajaran kendiri.


Di samping itu, peserta turut didedahkan kepada budaya laluan OKU di Jepun yang dilihat sebagai amalan masyarakat yang inklusif dan prihatin, serta wajar dijadikan contoh amalan baik di Malaysia.

Bukan itu sahaja, budaya pembelajaran yang menekankan kepentingan bertanya soalan secara aktif juga dijadikan sebagai elemen penting dalam meningkatkan kefahaman dan keberkesanan pembelajaran.

Akhir sekali, peserta juga diberi pendedahan mengenai panduan mendapatkan makanan halal, di mana pemilihan makanan perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati dan kebiasaannya makanan berasaskan seafood menjadi pilihan yang lebih selamat.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan melalui perkongsian pengalaman yang bermanfaat serta pengisian yang relevan dengan keperluan peserta. Pendedahan yang diberikan bukan sahaja membuka ruang pemahaman yang lebih luas tentang kehidupan di luar negara, malah turut membantu meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan penyesuaian diri, kepekaan budaya serta penguasaan kemahiran komunikasi dalam persekitaran antarabangsa.

Diharapkan agar segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh melalui program ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, di samping menjadi motivasi kepada peserta untuk terus membina jati diri yang lebih kukuh serta bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang.