Oleh : Nur Syasya Izzati
Tanjong Malim, 17 Mei 2026 – Program Daie Cilik: Penyambung Delegasi Dakwah merupakan program yang dianjurkan oleh Exco Kerohanian dan Pembangunan Manusia, Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) Sidang 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program Daie Cilik ini telah berjaya dianjurkan di Blok 9, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI yang merupakan salah satu platform yang memahami ilmu agama dari aspek sirah kenabian, tajwid bacaan Quran dan melatih daya ingatan dalam diri kanak-kanak pada awal usia.



Antara objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap agama Islam melalui medium pengucapan awam, hafazan dan laungan azan secara tepat, fasih, lancar serta berkesan.
Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi dan penguasaan bahasa dalam kalangan kanak-kanak melalui pengalaman pengucapan awam yang dapat membantu mengurangkan rasa malu dan meningkatkan keyakinan diri.
Di samping itu, program ini berusaha membentuk kanak-kanak muda menjadi individu yang memahami serta mampu menyampaikan dakwah Islam sejak usia muda dengan cara yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka.



Program ini dilaksanakan dengan dua kategori utama mengikut umur iaitu Kategori A berumur 5-7 tahun manakala Kategori B berumur 8-12 tahun. Kedua-dua kategori ini berlangsung serentak pada satu masa yang diadili oleh 4 orang juri iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Razimi bin Husin, Cik Ummikalsum Mat Lazim, saudari Anis Hazwani binti Yaakob dan juga saudari Nur Aqilah Md Azmi.
Antara acara yang dipertandingkan iaitu pertandingan laungan azan bagi 5-7 tahun, pertandingan hafazan bagi kedua-dua kategori dan juga pertandingan bercerita bagi kategori B. Seramai 50 orang penyertaan, yang mana kebanyakan peserta adalah daripada Muallim dan paling jauh adalah dari Bangi.
Untuk menghargai kejayaan para peserta, majlis penutup diadakan setelah seusai pertandingan dilaksanakan iaitu dimulai dengan ucapan pengarah program iaitu saudari Khairin Karmila binti Zariy Effende.
Melalui ucapannya, “Program Daie Cilik ini merupakan satu platform yang sangat baik dalam membentuk generasi muda yang berani, berilmu dan berakhlak mulia.
Melalui pendekatan dakwah yang santai dan kreatif, kanak-kanak dapat memupuk keyakinan diri serta menghayati nilai-nilai Islam sejak usia muda.” Kata-kata tersebut jelas menunjukkan kepentingan program ini dalam melahirkan generasi muda yang mempunyai sahsiah dan jati diri yang baik.



Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan perasmian oleh Penasihat Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Sidang 2025/2026 iaitu Puan Norrulkamari Binti Daud. Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menzahirkan penghargaan tinggi kepada para ibu bapa dan juga waris peserta yang bersemangat mendaftarkan diri anak-anak dalam pertandingan ini selain kerjasama yang digembleng secara komited oleh barisan ahli jawatankuasa pelaksana program dalam menjayakan program ini dengan baik. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua peserta dengan harapan agar program ini menjadi langkah awal buat mereka dalam menyambung legasi dakwah yang cemerlang serta membentuk modal insan yang berakhlak mulia.
Sebagai aktiviti kemuncak program Daie Cilik, sesi penyampaian hadiah kepada pemenang dan juga saguhati kepada peserta serta para juri. Program ini telah memberikan pelbagai impak positif kepada peserta dan pihak penganjur.
Antaranya ialah peningkatan kefahaman kanak-kanak terhadap asas agama Islam melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan mencungkil kreativiti dalam pertandingan yang disertai. Selain itu, peserta juga dapat meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi melalui aktiviti pengucapan awam dan persembahan di hadapan khalayak.
Program ini turut membantu melahirkan generasi muda yang berani menyampaikan dakwah dan menghayati nilai Islam sejak kecil.Hubungan antara pihak universiti, ibu bapa dan masyarakat setempat juga dapat diperkukuhkan melalui penglibatan bersama dalam program berbentuk kerohanian ini.


Secara keseluruhannya, Program Daie Cilik 2026 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta memberi impak positif kepada peserta dan ibu bapa yang hadir. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang berakhlak mulia, berkeyakinan dan mampu menjadi penyambung delegasi dakwah pada masa hadapan. Tambahan, pengendalian program ini juga memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada barisan ahli jawatankuasa program dari aspek pembangunan sahsiah diri dan juga pengurusan program.
