Oleh: Hana Insyirah dan Norrulkamari Daud

Tanjong Malim, 13 Mei 2026 – Program Derma Darah: Setitis Darah Sejuta Harapan telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Melalui kerjasama padu bersama Unit Tabung Darah Hospital Slim River, program derma darah ini merupakan inisiatif kebajikan dan usaha murni iaitu di bawah anjuran Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan, Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) sidang 2025/2026, FPM, UPSI.

Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya warga kampus tentang kepentingan menderma darah sebagai satu tanggungjawab sosial yang mampu membantu menyelamatkan nyawa bagi insan yang amat memerlukan darah dalam meneruskan kehidupan mereka.

Selain itu, program ini juga turut bertujuan menarik penyertaan warga UPSI terutamanya kakitangan dan pelajar agar lebih peka dan prihatin terhadap keperluan bekalan darah di hospital.

Melalui penganjuran program ini, warga kampus juga dapat didedahkan dengan maklumat yang tepat mengenai proses derma darah dan kelayakan menderma darah, sekali gus menghapuskan salah faham dan ketakutan yang sering dikaitkan dengan aktiviti tersebut.

Secara tidak langsung, ia dapat memupuk nilai kemanusiaan, sikap sukarela serta semangat bantu-membantu dalam kalangan penderma. Di samping itu, program ini juga berperanan sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara pihak kesihatan dengan warga kampus serta komuniti melalui penglibatan dalam aktiviti kebajikan yang memberi impak positif kepada sosial.

Pengisian utama program derma darah ini adalah pemeriksaan kesihatan ringkas oleh petugas perubatan daripada pihak Hospital Slim River bagi memastikan para penderma berada dalam keadaan sihat dan layak untuk menderma darah. Sepanjang sesi berlangsung, para peserta diberikan penerangan mengenai prosedur derma darah serta kepentingannya kepada pesakit yang memerlukan.

Hasil pelaksanaan aktiviti yang berlangsung hampir 6 jam ini, sebanyak 55 tabung beg darah berjaya dikumpulkan yang mana bekalan darah ini akan dihantar segera ke Hospital Ipoh sebagai bekalan kepada pesakit yang memerlukan.

Seramai 60 orang penderma darah daripada warga kampus dan komuniti telah menyertai program ini yang berfokus kepada aktiviti derma darah sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan keprihatinan terhadap kepentingan bekalan darah.

Walaubagaimanapun pelajar dan kakitangan yang hadir ada yang melepasi kelayakan untuk menderma darah, akan tetapi ada juga yang tidak layak disebabkan berat, tinggi dan tiada persediaan diri untuk menderma darah. Namun, pihak hospital amat mengharapkan agar lebih ramai penderma yang berani tampil untuk menyumbang darah dan membantu pesakit yang memerlukan.

Seterusnya, peserta yang layak akan menjalani proses menderma darah dengan pemantauan rapi daripada pihak petugas kesihatan. Sementara menunggu giliran, para yang hadir juga turut didedahkan dengan maklumat kesedaran melalui edaran risalah secara maya berkaitan kepentingan menderma darah secara berkala melalui imbasan kod yang disediakan.

Program ini bukan sahaja berjalan lancar, malah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus yang hadir untuk sama-sama menyumbang kepada masyarakat.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Diploma PAKK dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Slim River ini merupakan satu inisiatif yang sangat bermakna dalam menyemai semangat kemanusiaan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat.

Selain itu, program ini juga menjadi platform kepada masyarakat untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan. Penglibatan seperti ini mampu membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai nilai kemanusiaan, semangat kerjasama dan jiwa prihatin terhadap masyarakat sekeliling.

Sebagai penutup, penyampaian cenderahati dan penghargaan telah disempurnakan oleh Penasihat Persatuan Diploma PAKK, Puan Norrulkamari Daud diiringi oleh Putri Alia Qistina binti Hashim kepada wakil Unit Tabung Darah Hospital Slim River atas komitmen dan kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung pada hari tersebut. Sebagai penghargaan, para peserta mendapat sijil penghargaan dan makanan yang disediakan oleh penganjur dan juga daripada pihak hospital.

Secara keseluruhannya, program derma darah yang dianjurkan ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk menyumbang darah demi membantu insan yang memerlukan, malah turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan amalan menderma darah secara berkala.

Sesi fotografi bersama semua yang hadir juga turut tidak lupa sebagai  usaha murni jalinan dua pihak bersatu dalam menjayakan program yang dianjurkan. Dengan adanya penglibatan aktif daripada warga kampus dan komuniti setempat juga mencerminkan tahap keprihatinan yang tinggi terhadap isu kemanusiaan dan kesihatan sosial dalam kalangan masyarakat Muallim amnya.