OLEH : NURSYAZWANI NADHIRAH
TANJONG MALIM, 18 JANUARI 2025 – Penjagaan kebersihan merupakan salah satu fundamental utama yang menjadi kunci bagi kesejahteraan mental dan prestasi akademik mahasiswa.
Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa (MMKA) Sidang 2024/2025 telah mengadakan program pertama mereka di Kolej Antarabangsa iaitu Program Clean and Cheerful (CNC) yang julung kalinya diadakan pada 18 Januari 2025 bertempat di Kolej Antarabangsa, Kampus Sultan Azlan Shah.
Program ini telah melibatkan penyertaan semua pelajar Kolej Antarabangsa yang dihimpunkan bersama-sama dengan MMKA dan pihak pentadbiran kolej dalam usaha untuk menjaga kebersihan dan mewujudkan persekitaran yang harmoni di kolej.


Program tersebut dimulakan dengan ucapan aluan oleh pengacara bagi meraikan kehadiran pelajar dan pihak pentadbiran kolej pada pagi itu.
Program diteruskan lagi dengan sesi senamrobik yang diketuai oleh ahli jawatankuasa program untuk memeriahkan suasana di Kolej Antarabangsa.
Sesi senamrobik berlangsung selama 30 minit berlatarkan lima lagu termasuklah lagu ‘Girls In The Mirror’, Cak Ketum, ‘Panama’, ‘We Will Rock You’ dan ‘Party Rock Anthem’.


Slot yang seterusnya merupakan slot ramah mesra antara pihak pentadbiran kolej dan MMKA bersama-sama dengan pelajar Kolej Antarabangsa.
Dalam slot ini, pelajar diberikan peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak pentadbiran kolej dan MMKA untuk menyatakan harapan mereka terhadap pentadbiran kolej dan program-program yang akan dianjurkan pada masa akan datang.


Pelajar juga turut diberikan peluang untuk bertanya soalan kepada pihak pentadbiran dan MMKA dalam sesi soal jawab berkaitan sebarang kemusykilan atau masalah yang dihadapi oleh mereka sepanjang berada di kolej.
Sarapan pagi turut diedarkan kepada pelajar di Student Lounge agar mereka dapat menjamu selera terlebih dahulu sebelum memulakan sesi gotong-royong di rumah masing-masing.


Setelah itu, pelajar diberikan tempoh selama dua jam untuk menjalankan gotong–royong di rumah mereka. MMKA turut menjalankan rondaan dan tinjauan dari rumah ke rumah bagi memastikan tentatif program berjalan dengan lancar.
Sepanjang rondaan, sesi temu bual diadakan bersama-sama pelajar oleh MMKA untuk membantu pelajar berkongsi pendapat dan maklum balas mereka.
Dalam sesi temu bual tersebut, majoriti pelajar berpuas hati dan berasa gembira dengan kehidupan mereka sebagai seorang mahasiswa dengan suasana pengajian di UPSI.
Uddin Nesar, salah seorang pelajar Master yang berasal dari Bangladesh berkongsi pendapat beliau tentang keseronokan menyambung pengajian di UPSI.


“Saya sangat berpuas hati dan gembira sepanjang belajar di UPSI. Pihak pentadbiran dan MMK sangat prihatin dengan keperluan kami sebagai penghuni di kolej.
“Pensyarah dan rakan-rakan sekelas juga sangat mesra dengan kami. Sekiranya terdapat kenalan saya dari kampung halaman yang ingin melanjutkan pelajaran, UPSI merupakan destinasi pertama yang saya akan cadangkan kepada mereka.”, katanya.
Timbalan Pengarah Program, Wan Aida Syamimi Wan Mohd Nizam menzahirkan kesyukuran apabila program pertama yang dianjurkan di kolej mendapat sambutan yang hangat daripada penghuni.
“Pelajar kolej ini sentiasa menyokong semua inisiatif dan program anjuran MMKA di kolej. Semoga mereka berasa gembira dengan masa yang diluangkan untuk menghadiri program ini.”
Felo Kolej Antarabangsa, Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan mengucapkan syabas kepada MMKA atas penganjuran program pertama mereka yang berlangsung dengan jayanya.

“Saya sentiasa menyokong penuh semua cadangan program dan inisiatif yang dikemukakan oleh MMKA setiap kali mesyuarat berlangsung.
“Program hari ini merupakan titik tolak bagi semua pelaksanaan program MMKA yang akan datang. Semoga mereka terus komited untuk berbakti kepada kolej.”, ucap beliau.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan program ini.
Semoga program ini dapat membawa sinergi baru yang dapat menghubungkan pelajar antarabangsa dengan komuniti di UPSI untuk membina sebuah komuniti yang sihat dan berjaya.