OLEH : AVIE SHELLIE ANAK AZIZ & NURSYAZWANI NADHIRAH
TANJONG MALIM, 8 JANUARI 2025 – Terdapat pelbagai langkah proaktif yang wajar diambil oleh setiap kolej kediaman di universiti dalam memperkasa keselamatan dan keamanan para pelajar yang mendiami kolej tersebut.
Di UPSI, satu daripada inisiatif yang dilakukan oleh semua kolej kediaman ialah pelaksanaan rondaan berkala oleh Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) yang bertanggungjawab di setiap kolej masing-masing.
Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa (MMKA) Sidang 2024/2025 telah melaksanakan rondaan pertama mereka di Kolej Antarabangsa dengan pemantauan staf daripada pihak pentadbiran kolej tersebut.

Rondaan ini merupakan inisiatif yang diambil untuk memantau keadaan semasa pelajar di kolej dengan mengenal pasti sebarang masalah yang dihadapi oleh mereka untuk mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian.
Pada masa yang sama, hubungan antara pelajar antarabangsa, pihak pentadbiran dan MMKA juga dapat dieratkan menerusi rondaan yang dijalankan.
Rondaan yang dijalankan merangkumi sesi pengenalan kepada Felo, SKIM dan MMKA kepada penghuni kolej di semua rumah pelajar Kolej Antarabangsa.


Rondaan ini memberi tumpuan kepada kawasan Wing 1 dan Wing 3, manakala Wing 2 tidak terlibat kerana kawasan tersebut sedang menjalani proses pengubahsuaian dan penaiktarafan fasiliti.
Kehadiran pihak MMKA sepanjang rondaan telah memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan mereka dan pihak pentadbiran untuk menyuarakan sebarang kebimbangan atau cadangan penambahbaikan kemudahan di kolej.
Sepanjang sesi rondaan, para pelajar diminta untuk menyertai kumpulan WhatsApp rasmi Kolej Antarabangsa bagi memudahkan komunikasi antara penghuni, MMKA dan pihak pentadbiran kolej apabila hendak menyampaikan sebarang maklumat kepada pelajar.
Selain itu, pelajar juga dimaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan berkeliaran di kawasan kolej selepas pukul 12.00 pagi.

Selain itu, terdapat beberapa isu yang telah dikenal pasti oleh MMKA sepanjang sesi rondaan termasuklah perabot milik kolej dan barangan peribadi pelajar yang diletakkan di kawasan koridor.
Seterusnya, terdapat penghuni dari kolej lain yang meletakkan kenderaan mereka di kawasan tempat parkir yang sepatutnya dikhususkan untuk kegunaan pelajar dan pihak pentadbiran Kolej Antarabangsa sahaja.
Sebagai langkah susulan, MMKA mencadangkan agar rondaan berkala diteruskan bagi mengatasi masalah tersebut.
Pelajar juga dinasihatkan agar menguruskan harta benda peribadi masing-masing secara lebih teratur dan melupuskannya dengan cara yang betul apabila tidak digunakan lagi.
Pihak pentadbiran kolej mengambil keputusan bahawa tindakan tegas akan dikenakan kepada pelajar sekiranya mereka gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Bagi mengatasi isu tempat parkir kenderaan yang terhad, memo rasmi daripada pihak pentadbiran kolej dan MMKA telah disediakan untuk hebahan umum bagi memaklumkan bahawa kawasan parkir kenderaan di Kolej Antarabangsa hanya dikhususkan kepada penghuni dan pihak pentadbiran Kolej Antarabangsa sahaja.
Tindakan ini diambil bagi memastikan kemudahan fasiliti yang dikhususkan oleh pelajar Kolej Antarabangsa tidak sewenang-wenangnya digunakan sesuka hati oleh pihak luar.
Akhir sekali, pihak pentadbiran kolej dan MMKA ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sesi rondaan pertama yang telah dijalankan.
Pelaksanaan rondaan berkala diharapkan dapat membantu memastikan keselamatan dan mewujudkan suasana yang harmoni untuk pelajar di kolej.