Oleh: Encik Muhamad Hafiz Abd Manap
Tanjong Malim, 3 Februari 2025 – Dalam usaha meringankan beban pelajar yang menghadapi kesulitan kewangan terutamanya dalam minggu-minggu akhir sesi perkuliahan, Kolej Ungku Omar (KUO) dan Al-Fateh Kitchen berganding bahu melancarkan program Saji Prihatin: KUO x Al-Fateh Kitchen, yang menyediakan makanan percuma setiap jumaat kepada pelajar berkeperluan di Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini bertujuan untuk memastikan pelajar yang mengalami kesempitan wang saku mendapat makan tengah hari mereka, sekaligus memberi peluang untuk fokus pada pelajaran.

Makanan percuma bagi program Saji Prihatin: KUO x Al-Fateh Kitchen ini akan mula diedar pada jam 11.30 pagi di Kafe Kolej Ungku Omar, di mana pelajar yang memerlukan hanya perlu membawa kad pelajar untuk menikmati hidangan percuma yang disediakan.
Hidangan yang disediakan dijamin berkhasiat dan seimbang, sesuai untuk memenuhi keperluan tenaga pelajar yang sibuk dengan kehidupan kampus.
“Dengan kerjasama bersama Al-Fateh Kitchen dan Exco Kebajikan dan Perkhidmatan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, kami berharap program ini dapat memberi sokongan langsung kepada pelajar, terutamanya mereka yang menghadapi cabaran kewangan,” kata Pengetua KUO, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan.


Selain memberi manfaat kepada pelajar, program ini juga menggalakkan orang ramai untuk turut serta dalam memberi sumbangan bagi memastikan kelancaran pengagihan makanan kepada lebih ramai pelajar yang memerlukan.
Pihak penganjur membuka peluang kepada individu atau organisasi yang ingin menyumbang, dengan maklumat sumbangan boleh didapati melalui media sosial KUO dan Al-Fateh Kitchen atau boleh terus ke Pejabat Kolej Ungku Omar.
Pengasas Al-Fateh Kitchen, En. Muhammad Al Fateh Shaharudin, turut menyatakan, “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan KUO dan Exco Kebajikan MMKUO untuk menjayakan program ini.

Kami berharap usaha kecil ini dapat membantu pelajar dalam perjalanan akademik mereka. Bagi mereka yang berminat untuk menyumbang atau menjadi sukarelawan dalam program Saji Prihatin, maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MMKUO,” tambahnya lagi.
Dengan pelaksanaan program ini, diharapkan sedikit sebanyak pelajar yang memerlukan dapat menikmati kemudahan asas seperti makanan tanpa perlu bimbang, serta terus fokus dalam mengejar impian pendidikan mereka.