Oleh : Azwan Abdul Ghani , Ellye Maureen Saguh, Nur Anis Farhana Rohizal,  Nur Fatihah Ilyana Amir Ikhsan

Tanjung Malim, 28 Januari 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan  Sultan Idris (UPSI) sidang 2024/2025 telah mengadakan satu program yang dikenali sebagai  Bengkel Pengukuhan Kemahiran Bahasa Isyarat.

Program ini memberi peluang kepada  mahasiswa/i untuk mempelajari dan berkomunikasi dengan lancar bersama golongan kurang  upaya (OKU) yang mempunyai masalah bisu dan pekak.

Di samping itu, program ini dapat  membentuk peribadi yang baik dalam diri mahasiswa/i UPSI yang bukan sahaja tertumpu  kepada kecemerlangan akademik semata-mata, malah turut unggul dari aspek sahsiah.

Program  ini diadakan sempena dengan Hari OKU Sedunia yang berlangsung pada 3 Disember pada  setiap tahun.

Program Bengkel Pengukuhan Bahasa Isyarat ini telah dihadiri oleh Pengetua KAB, barisan  Pentadbiran , Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, serta peserta-peserta yang terdiri  daripada kalangan mahasiswa/I Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Seramai 50 peserta  khususnya mahasiswa/i UPSI yang telah menyertai bengkel pengukuhan bahasa isyarat ini  yang dilaksanakan pada 21 Disember 2024.

Program Bengkel Pengukuhan Bahasa Isyarat ini dimulai dari jam 7.30 pagi di Bilik Seminar  Aminuddin Baki, Blok 8 dengan sesi pendaftaran peserta dan taklimat ringkas bersama ahli jawatankuasa yang bertugas. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama daripada Persatuan  Sukan Orang Pekak Negeri Selangor.

Program dimulakan dengan sesi pengenalan kepada bahasa isyarat dan kemudiannya diikuti  dengan latihan praktikal yang memberi ruang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran  yang dipelajari.

Mahasiswa/i yang menghadiri bengkel ini dapat meningkatkan komunikasi  mereka dengan golongan OKU, memberi mereka peluang untuk lebih memahami kehidupan  dan cabaran yang dihadapi oleh golongan ini.

Sewaktu majlis perasmian , Puan Shakila selaku Pegawai Tadbir Kolej Aminuddin Baki juga  menyatakan bahawa tujuan utama bengkel pengukuhan bahasa isyarat ini dijalankan adalah  untuk bertujuan menggalakkan penghormatan dan penghargaan terhadap golongan OKU, serta memastikan bahawa mereka tidak dinilai berdasarkan latar belakang mereka, tetapi dilihat  dengan rasa empati dan keprihatinan.

Adalah menjadi harapan agar program bengkel ini berjaya mencapai objektifnya dengan  memberi impak positif kepada peserta dari sudut kemahiran komunikasi, pembangunan  sahsiah, dan juga pemahaman yang lebih mendalam terhadap golongan OKU.

Kami berharap  inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan, memberi peluang lebih ramai individu untuk  memperkasa diri mereka dan mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan empatik.