Oleh: Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa

Tanjong Malim, 29 Jun 2024 – Majlis Peluncuran ‘Community Recycling Project -Plastic Waste to Fuel’ telah dilaksanakan bersempena Karnival Alam Sekitar Peringkat UPSI dan Hari Terbuka FSK 2024.

Majlis Peluncuran ini merupakan kemuncak kepada program ‘Community Recycling Project – Plastic Waste to Fuel’ yang dilaksanakan sebagai sokongan kepada Hari Bumi Sedunia 2024 yang bertemakan Planet vs. Plastics yang dilaksanakan bersama dengan komuniti Kampung Simpang Empat Tanjung Malim selama 2 bulan bermula 28 April 2024 yang lalu.

Peluncuran ‘Community Recycling Project Plastic Waste to Fuel’ ini dianjurkan oleh pihak LRECC-FSK, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dengan kerjasama Jabatan Pengurusan dan Pembangunan Harta Benda (JPPHB), Jawatankuasa SDG UPSI,  IKTBN Sepang, UCTC, SULAM, kursus HGM3113,  Jabatan Geografi dan Alam Sekitar dan V-FSK4U.

Sebanyak 10 agensi luar terlibat dengan pameran yang diadakan sepanjang majlis ini berlangsung termasuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Sepang, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Geospatial, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Institut Tanah dan Ukur Negara, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, KOR SISPA APM dan Pusat Kesihatan Daerah Muallim. 

Nor Kalsum (kiri) menyaksikan penyerahan cenderamata daripada Jabatan Perangkaan Malaysia kepada Prof Dr Abdul Rahim Razalli, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, UPSI semasa berlangsungnya Majlis Peluncuran ‘Community Recycling Project -Plastic Waste to Fuel’, Karnival Alam Sekitar Peringkat UPSI dan Hari Terbuka FSK 2024 pada 29 Jun 2024 yang lalu.
 

Selain itu, sebanyak lima (5) unit pameran dalaman UPSI dan 11 booth peniaga mengambil peluang untuk membuat pelbagai jenis jualan. Majlis ini juga dimeriahkan dengan Jualan Rahmah yang menarik perhatian komuniti sekitar kerana harga jualannya yang sangat berpatutan.

‘Community Recycling Project – Plastic Waste to Fuel’ merupakan sebuah projek yang dilaksanakan melalui pembelajaran berasaskan projek bagi kursus HGM3113 Kelestarian Perancangan dan Pembangunan Ruang yang bertujuan memindahkan ilmu serta memberi kesedaran kepada kepentingan serta komitmen untuk menamatkan penggunaan plastik untuk kesejahteraan manusia dan planet serta menyasarkan pengurangan pengeluaran dan penggunaan plastik sehingga 60% pada tahun 2040.

Matlamat utamanya adalah untuk menyampaikan input baharu kepada komuniti setempat berkenaan kepentingan penjagaan alam sekitar, kitar semula plastik kepada bahan api dan amalan rendah karbon serta menggalakkan orang ramai untuk mula mempraktikkan amalan ini dengan kaedah pelupusan secara lestari bagi mendapatkan produk akhir yang mesra alam.

Justeru, bagi memaknai sasaran sifar karbon, program ini dilaksanakan sebagai sokongan kepada pengurangan pembebasan gas rumah hijau. Plastik dianggar membebaskan 19 peratus gas rumah hijau di peringkat global menjelang tahun 2040.

Pelajar HGM3113 bersama Ketua Kampung Simpang Empat, Tuan Raja Mohd Noor Raja Daud (tengah bawah) dan komuniti Kampung Simpang Empat
 

Penganjuran program ini berjaya mendedahkan komuniti sekitar kepada produk inovasi yang mesra alam dan boleh digunapakai sebagai tenaga baharu.

Sebanyak 16 kg botol dan bekas plastik telah di kitar semula dan 11.5 kg beg plastik telah dikumpul dan ditukarkan kepada bahan api sempena Karnival Alam Sekitar Peringkat UPSI.

Program ini dilaksanakan bersama komuniti Kampung Simpang Empat dan Kampung Ketoyong, Tanjong Malim, Perak.