Oleh: Dr. Mohd Faudzi Umar, Ts. Dr. Afiq Radzwan, En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Dr Anis Nazihah Mat Daud, En. Mohd Faisal Mohd Yassin, Mohamad Fitry Adhas Sahidi, ⁠⁠Nurleesya Afiqah Kamar Mohmad Zakaria, Nurul Ashila Rahmat.

Tanjong Malim, 20 Februari 2025 – Program Stargazing Night: Five Planets Align, anjuran Stargazers UPSI di bawah Jabatan Fizik dengan kerjasama kelab Rakan Astronomi UPSI (RASTRO), telah berlangsung dengan penuh keterujaan di perkarangan Dewan Tuanku Canselor, UPSI.

Program ini terbuka kepada staf bersama keluarga serta pelajar yang berada di kampus, dan turut menerima kunjungan istimewa daripada pelajar ASEAN yang dibawa oleh UPSI Global Buddies di bawah International Mobility Centre (IMC) UPSI.

Program tersebut dimulakan sekitar 9:00 malam dengan taklimat oleh pengarah program, Ts. Dr. Afiq Radzwan.

Dalam sesi ini, beliau menerangkan fenomena Planetary Parade, di mana lima planet berada dalam satu penjajaran yang jarang berlaku, hanya sekitar sekali dalam satu dekad.

Fenomena ini menjadi tarikan utama kerana memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihat beberapa planet dalam satu malam.

Persiapan teknikal bagi program ini telah dimulakan seawal pukul 6 petang, dikendalikan oleh pensyarah Fizik, En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, serta Penolong Pegawai Sains Jabatan Fizik, En. Mohd Faisal Mohd Yassin, dengan bantuan ahli jawatankuasa pelajar dari kelab RASTRO.

Mereka bertanggungjawab memastikan teleskop dan peralatan pencerapan berfungsi dengan baik, serta membantu peserta mendapatkan pengalaman pencerapan yang terbaik.

Sepanjang program, hanya tiga planet dapat diperhatikan dengan jelas, iaitu Uranus, Marikh, dan Musytari.

Walau bagaimanapun, peserta tetap bersemangat untuk menyaksikan keindahan langit malam. Bagi memastikan pengalaman pencerapan yang optimum, empat teleskop optik biasa dan satu teleskop pintar (smart telescope) disediakan, dengan setiap teleskop dikendalikan oleh fasilitator yang membimbing peserta dalam mengenal pasti objek langit.

Salah seorang peserta berkongsi keterujaannya kerana dapat melihat planet dengan warna sebenar melalui teleskop, sesuatu yang jauh lebih mengagumkan berbanding imej dalam buku atau skrin digital.

Selain pencerapan, sesi astrofotografi turut diadakan, di mana peserta berpeluang mengambil gambar individu mereka dengan latar belakang bintang-bintang.

Gambar ini dirakam menggunakan kamera khas dan lensa khusus untuk astrofotografi, memberikan mereka kenangan visual yang unik dari program ini.

Apa yang lebih menarik, ramai staf UPSI membawa anak-anak mereka keluar untuk menyertai program ini. Kanak-kanak yang hadir begitu teruja apabila dapat melihat planet dengan mata sendiri melalui teleskop, menjadikan pengalaman ini satu pendedahan awal kepada astronomi.

Selain itu, peserta juga diberikan pendedahan mengenai penggunaan aplikasi Stellarium dan SkyTonight bagi membantu mereka melakukan pencerapan secara interaktif.

Menurut Ketua Jabatan Fizik, Dr. Mohd Faudzi Umar, program ini merupakan satu usaha yang baik untuk meningkatkan aktiviti pencerapan astronomi di Tanjong Malim serta langkah awal dalam mempromosikan UPSI sebagai lokasi pencerapan yang berpotensi.

Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakan peserta teruja dan menantikan program pencerapan yang seterusnya.

Program berakhir pada 11:00 malam, dengan harapan agar lebih banyak sesi pencerapan seperti ini dianjurkan pada masa akan datang.