Oleh: Nik Muhammad Arif Nik Ibrahim, Siti Maisarah Sulaiman dan Cik Ummikalsum Mat Lazim

Tanjong Malim, 24 Januari 2025 – Exco Akademik dan Kerjaya, Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan Program “Qalbun Quran:  Towards Al-Tafawwuq”. 

Majlis telah diadakan melalui platform dalam talian Google Meet. Majlis  Qalbun Quran Towards al-Tafawwuq diadakan khusus bagi memberikan sokongan rohani kepada  pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan (AT36) yang bakal menghadapi peperiksaan akhir semester.

Majlis ini diadakan dengan beberapa tujuan utama iaitu untuk memberikan suntikan semangat dan keyakinan daripada pelajar cemerlang AT36 iaitu saudara Nasrul Zikri kepada mahasiswa AT36 agar berusaha dan bertawakkal dalam menghadapi peperiksaan.

Selain itu, program ini diadakan bagi memohon keberkatan melalui bacaan Yasin dan doa yang dipanjatkan agar para pelajar dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi peperiksaan.

Majlis ini dimulakan dengan bacaan Surah Yasin serta bacaan doa yang dipimpin oleh Mohd Afifi Nik Asri yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Tahfiz Qiraat.

Tambahan lagi, terdapat perkongsian inspirasi oleh Nasrul Zikri Bin Mohd Nazri merupakan alumni UPSI yang telah mencapai pointer 3.94.

Beliau mahasiswa aktif serta pernah menjadi Imam Terawih (Malaysia Hall Melbourne) 2024. Antara perkongsian beliau adalah tentang nasihat sebagai seorang pelajar sebelum menghadapi peperiksaan.

Antara nasihat beliau adalah para pelajar mestilah mempunyai niat yang baik dalam menuntut ilmu serta tidak lupa dalam memohon doa serta restu daripada ibu bapa dalam perjalanan menjadi seorang penuntut ilmu.

Di samping itu, antara tips dalam menghadapi peperiksaan yang berkaitan dengan subjek hafazan al-Quran adalah para pelajar mestilah mempunyai persediaan yang cukup dengan sentiasa mengulang al-Quran daripada waktu yang awal dan tidak meninggalkan murajaah Al-Quran.

Selain itu, bagi subjek yang memerlukan kefahaman pelajar digalakkan membuat perbincangan bersama rakan-rakan agar dapat berkongsi kefahaman dan bertanya soalan antara satu sama lain.

Setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh mereka mestilah bertawakkal dan berdoa bersungguh-sungguh serta tidak berputus asa dalam memohon kepada Allah SWT