oleh: Wan Nafisah Wan Abd Halim, Ahmad Afifi Nik Asri, Mimi Batrisyia Mohd Norly, Amalina Syuhaila Mohd Salim, Cik Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim, 23 Januari 2025 – Seramai 35 orang pelajar dan 5 orang guru dari Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Telok Mas (MTQQTM), Melaka mengadakan lawatan ilmiah ke Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan maklumat mengenai Program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan (AT36) dan memberikan peluang untuk memperkukuhkan jaringan antara institusi pendidikan dalam memajukan bidang tahfiz di peringkat yang lebih tinggi.
Menurut Pengurus Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Telok Mas (MTQQTM), Ustaz Khairul Anwar Adnan, lawatan ini merupakan salah satu inisiatif pihak madrasah untuk membuka peluang kepada pelajar-pelajar tahfiz agar dapat melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

“Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar kami tentang struktur program pengajian di UPSI, khususnya dalam bidang tahfiz yang bukan sahaja memberi pengetahuan dalam bidang agama tetapi juga membolehkan mereka mengembangkan kemahiran pendidikan,” ujar beliau.
Pelajar-pelajar MTQQTM merupakan kalangan pelajar tahfiz yang mempunyai potensi besar untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang agama dan pendidikan.

Dengan adanya lawatan ini, mereka berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat peluang pendidikan yang ada di universiti serta memahami lebih lanjut tentang prospek kerjaya selepas menamatkan pengajian.
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Islam, Prof. Madya Dr Husna Husain, lawatan ini memberikan manfaat besar kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang tahfiz.
“Kami di UPSI sangat menghargai inisiatif seperti ini, yang memberikan pendedahan awal kepada pelajar-pelajar tahfiz mengenai peluang pendidikan tinggi.

Program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan ini bukan sahaja melatih pelajar dalam bidang agama, tetapi juga menyediakan mereka dengan kemahiran pengajaran yang membolehkan mereka menjadi pendidik dalam bidang ini,” jelas beliau.
Menurut Penyelaras Program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan, Dr. Wan Muhammad Hafizuddin, lawatan ini memberi peluang kepada pelajar-pelajar tahfiz untuk memperluaskan pengetahuan mereka mengenai peluang pendidikan tinggi dalam bidang tahfiz.
“Program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan di UPSI bertujuan untuk membekalkan pelajar dengan asas pengajian yang kukuh dalam bidang al-Quran, selain menyediakan mereka dengan kemahiran mengajar yang diperlukan untuk menjadi pendidik dalam bidang ini,” ujarnya.
Para peserta lawatan juga berpeluang untuk berinteraksi dengan pensyarah dan pelajar-pelajar UPSI yang sedang mengikuti program ini, serta mendapat pandangan mengenai pengalaman mereka dalam mengimbangi antara pengajian akademik dan pengajian al-Quran.

Menurut salah seorang pelajar MTQQTM, Muhammad Irfan, lawatan ini sangat bermakna buat dirinya. “Saya tidak tahu sebelum ini bahawa saya boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang tahfiz di universiti. Lawatan ini telah membuka mata saya untuk melanjutkan pengajian di sini setelah selesai menduduki peperiksaan SPM,” katanya.
Semasa lawatan, pelajar-pelajar dan guru-guru MTQQTM diberi penerangan tentang kurikulum dan struktur program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan yang ditawarkan di UPSI.
Program ini bertujuan untuk melahirkan pendidik yang berkualiti dalam bidang pengajaran al-Quran serta pendidikan berasaskan syariah.
Pelajar-pelajar tahfiz yang berminat dapat melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam bidang pendidikan agama.
Dengan lawatan ini, diharapkan para pelajar tahfiz dari MTQQTM dapat memperoleh inspirasi dan semangat untuk terus berusaha dalam menuntut ilmu dan mencapai impian mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
