Oleh: Cik Nur Ain Masitah Kusnanto
TANJONG MALIM, 20 Februari 2025 – Program Manis2U 3.0 yang berlangsung pada 20 Februari 2025 telah berjaya mengeratkan hubungan antara pelajar antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), peserta ASEAN Student Mobility Programme dan pelajar tempatan.
Seramai 37 orang pelajar termasuk pelajar tempatan telah menyertai program yang dianjurkan oleh International Mobility Center (IMC), Global Buddies dan Fakulti Teknologi dan Vokasional (FTV) ini.
Inti program ini adalah membuat kuih raya bersama di bengkel bakeri FTV, bangunan Ahmad Yusuf, KSAJS dibantu oleh 4 orang chef dari FTV.
Aktiviti ini memberikan peluang kepada para peserta untuk merasai pengalaman membuat kuih raya di Malaysia dan mempelajari resepi serta teknik-teknik yang digunakan. Kuih raya yang dihasilkan pada hari tersebut adalah cornflakes madu dan florentine.

membuat kuih raya dibantu oleh pelajar FTV dan UPSI Global Buddies
Menurut saudari Syazana, pengarah program Manis2U 3.0, program ini mendapat sambutan yang amat baik daripada para peserta.
Beliau berkata, “Kami sangat gembira melihat para peserta yang terdiri daripada pelajar antarabangsa UPSI dan ASEAN Student Mobility Programme ini berinteraksi dan bekerjasama dengan baik sepanjang program ini berlangsung.”


Diharapkan program seperti ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara pelajar antarabangsa dan pelajar tempatan UPSI.

Selain itu, program ini juga diharap dapat menjadi platform bagi mempromosikan budaya di Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
