Oleh : Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim dan Siti Nor Syafiqah Kamarudin
Kuala Kangsar, 16 Disember 2024 – Minat tentang kemahiran cerap cuaca dan iklim semakin pupus. Melalui Pembelajaran di lapangan di Pejabat Meteorologi Kuala Kangsar menjadikan aspek penting dalam pembelajaran geografi dan sering menjadi platform terbaik untuk mengasah kemahiran praktikal dan analitik dalam kalangan pelajar UPSI.
Bukan sahaja aplikasikan teori yang dipelajari di bilik kuliah, tetapi juga untuk memberikan pendedahan langsung kepada mereka terhadap proses-proses sebenar yang berlaku dalam sistem iklim dan komuniti tempatan.
Pengalaman pembelajaran di lapangan lalu, pada 16 Disember 2024 telah menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna dan luar biasa bagi 51 orang pelajar kursus Kaji Iklim, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Inisiatif ini dilaksanakan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, seorang pensyarah dalam bidang kaji iklim dan turut dibantu oleh tiga fasilitator yang berpengalaman dalam membimbing kajian di lapangan.
Dengan perkongsian kepakaran teknikal oleh Staf, Jabatan Meteorologi Malaysia,, pelajar berpeluang meneroka lebih mendalam hubungan yang kompleks antara sistem meteorologi dan aktiviti masyarakat setempat.
Ini memberikan dimensi baharu kepada proses pembelajaran secara di lapangan, di mana teori akademik digabungkan dengan pengalaman praktikal secara langsung di lapangan.

Pada sesi pagi, aktiviti dimulakan dengan pelajar diberi pendedahan di lapangan kepada dua aktiviti utama. Pertama, mereka melawat tapak pencerapan manual yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan mencerap.
Pengalaman ini memberikan gambaran praktikal tentang bagaimana data meteorologi dikumpul dan dianalisis secara manual.
Seterusnya, pelajar mengikuti taklimat komprehensif tentang sistem meteorologi global, nasional dan peringkat tempatan dimana ianya memberikan pelajar pemahaman yang lebih mendalam mengenai fenomena cuaca.

Pada waktu petang, pembelajaran di lapangan dilaksanakan di lokasi pekan Bagan Serai dan Parit Buntar, Perak.
Pelajar didedahkan dengan kerja lapangan dengan menjalankan kerja pencerapan secara in-situ dan melaksanakan soal selidik bersama komuniti setempat dalam mengenalpasti pengetahuan dan adaptasi dengan pengaruh cuaca dan iklim.
Setiap lokasi dipilih dengan teliti untuk memahami kepelbagaian topografi, keadaan cuaca dan iklim serta kepelbagaian sosial yang berlaku di kawasan tersebut.
Pembelajaran di lapangan dilaksanakan dalam kumpulan kecil, pelajar diberi tanggungjawab mencerap keadaan cuaca dengan memahami persekitaran fizikal, budaya dan sosial di lokasi masing-masing.
Dalam masa yang sama, mereka mengedarkan borang soal selidik kepada penduduk setempat untuk mendapatkan pandangan mereka mengengenalpasti “Adaptasi Fenomena Monsun Timur Laut Terhadap Penduduk di Pekan Bagan Serai dan Parit Buntar, Perak”.
Data yang dikumpul ini penting untuk memahami bagaimana pengaruh cuaca dan iklim mempengaruhi komuniti tempatan termasuk impak perubahan iklim.

Interaksi dengan masyarakat setempat bukan sahaja memberikan pelajar pemahaman mendalam terhadap cabaran yang dihadapi oleh penduduk tetapi juga melatih mereka dalam meningkatkan kemahiran komunikasi dan “Soft Skill”.
Pelajar belajar untuk menghargai perspektif komuniti dalam menyelesaikan isu persekitaran. Aktiviti ini turut memperlihatkan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
Hal ini dikatakan demikian kerana setiap kumpulan diketuai oleh seorang ketua yang memastikan kelancaran aktiviti dan ahli yang memberikan kerjasama.

Pembelajaran lapangan ini juga mendedahkan pelajar kepada penggunaan data primer, geografi dalam sesuatu kajian yang lebih holistik. Melalui lawatan ini, mereka dilatih untuk menilai hubungan antara pengaruh cuaca dan iklim dan pembangunan manusia.
Aktiviti seperti ini menjadikan pelajar lebih bersedia untuk menyumbang kepada perkongsian ilmu persekitaran yang bertujuan menangani isu-isu global seperti perubahan iklim, pemanasan global dan urbanisasi yang pesat.
Kepentingan pembelajaran lapangan seperti ini tidak dapat dinafikan kerana ianya memberi peluang kepada pelajar untuk keluar daripada batas bilik kuliah dan merasai dunia sebenar.
Mereka juga belajar bagaimana untuk menyesuaikan teori dan model yang dipelajari kepada keadaan praktikal, menjadikan mereka lebih kompeten sebagai graduan yang bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang mencabar.

Pembelajaran lapangan ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman pelajar terhadap cuaca dan iklim tetapi juga memupuk sikap tanggungjawab terhadap komuniti dan persekitaran.
Dengan pengetahuan dan pengalaman berharga ini, pelajar kini lebih yakin untuk memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembangunan lestari pada masa depan.
Pembelajaran lapangan ini benar-benar menjadi platform untuk melahirkan generasi pelapis yang cakna akan persekitaran dan dinamik kehidupan manusia.
