Oleh: Terrie Nana Stephen Kelat
Tanjung Malim, 28 November 2024 – Kolej Vokasional Port Dickson telah membuat lawatan sambil belajar ke Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Program ini merupakan langkah penting dalam memperkaya pengalaman akademik dan kepimpinan dalam kalangan pelajar bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2024/2025.
Lawatan sambil belajar ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Vokasional Port Dickson untuk menimba pengalaman serta memperluaskan ilmu pengetahuan di UPSI.
Pengisian program ini juga memberi pendedahan kepada pelajar tentang aspek kepimpinan pelajar dalam pembelajaran dengan mencontohi kaedah pengurusan terbaik yang dipraktikkan oleh MPP UPSI.

Majlis Perwakilan Pelajar Port Dickson telah memperoleh pendedahan tentang konsep dan kaedah strategi kepimpinan yang berkesan yang disampaikan oleh Majlis Perwakilan Pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ini memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan kepimpinan melalui pengalaman pembelajaran langsung dalam persekitaran akademik yang berbeza.
Majlis Perwakilan Pelajar UPSI telah menjemput dua mantan MPP UPSI sidang 2023/2024 iaitu Amirul Haiqal Amiruddin Baki yang merupakan mantan Yang Dipertua MPP UPSI dan Ng Zhen Fan Shankar yang merupakan mantan Bendahari Kehormat untuk memberikan perkongsian kepada pelajar MPP KV Port Dickson.

Mereka telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang kepimpinan yang berkesan, serta bagaimana memupuk sifat kepimpinan yang berintegriti dan berdedikasi.
Melalui program ini, MPP UPSI berharap dapat meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan kepimpinan dalam kalangan pelajar Kolej Vokasional Port Dickson.
Lawatan ini terdiri daripada 40 pelajar Kolej Vokasional Port Dickson yang diiringi oleh 3 pensyarah, disambut mesra oleh Yang Di Pertua MPP UPSI, Mohammad Arif Aizat Sukry serta barisan Majlis Perwakilan Pelajar sidang 2024/2025.
Dalam ucapan penutupan, Yang Di Pertua MPP UPSI telah menekankan kepentingan pemahaman dan kecekapan pelajar dalam aspek kepimpinan untuk menguruskan sesebuah organisasi.
Selain itu, beliau juga berharap bahawa perkongsian dan pengalaman yang diberikan dapat memupuk pembangunan kendiri pelajar, keyakinan dan kemahiran komunikasi yang lebih baik.
Program lawatan sambil belajar ini telah disusun dengan rapi untuk memberikan pendedahan tentang aspek kepimpinan kepada pelajar Kolej Vokasional Port Dickson.
Salah satu pengisian utama program ini adalah sesi perkongsian bersama MPP Sidang 24/25 yang membolehkan para pelajar memperoleh wawasan tentang kepimpinan dan pengurusan organisasi pelajar.
Selain itu, program ini juga menampilkan sesi perkongsian bersama Mantan YDP MPP Sidang 23/24, Amirul Haiqal, yang berkongsi mengenai pengalamannya dan strategi kepimpinan yang berkesan sepanjang dia memegang jawatan sebagai YDP MPP UPSI sidang 2023/2024.
Tidak ketinggalan juga sesi perkongsian bersama Mantan Bendahari Kehormat MPP Sidang 23/24, Ng Zhen Fan Shankar, yang memberikan pandangan tentang pengurusan kewangan dalam sesebuah organisasi pelajar.
Melalui sesi-sesi ini, diharapkan pelajar dapat memperoleh pengetahuan yang luas dan pengalaman berharga untuk memupuk sifat kepimpinan mereka.
Secara keseluruhannya, program Lawatan sambil belajar Kolej Vokasional Port Dickson ke Universiti Pendidikan Sultan Idris ini telah mencapai tujuannya dalam memperkaya pengalaman akademik dan kepimpinan pelajar KV Port Dickson.
Melalui sesi-sesi perkongsian yang berkesan, pelajar telah memperoleh wawasan yang luas tentang strategi kepimpinan dan pengurusan organisasi pelajar.
Majlis Perwakilan Pelajar UPSI percaya bahawa program ini akan menjadi titik tolak penting dalam memupuk generasi pemimpin masa depan yang berintegriti, berdedikasi dan berwawasan luas.
