Oleh: Mohd Danial Khan Badru Zaman Khan

Tanjung Malim, 27 Januari 2025 – Mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) telah berlangsung dengan jayanya bagi membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan mahasiswa serta kelestarian program pelajar.

Dalam mesyuarat ini, sejumlah RM42,000.00 telah diluluskan untuk diagihkan kepada badan pelajar mengikut sektor tertentu, merangkumi Khidmat Sosial, Pengurusan Kemanusiaan, Pendidikan Berkualiti, Kesihatan dan Kesejahteraan, Kelestarian Alam Sekitar, serta Advokasi dan Kepimpinan.

Keputusan ini mencerminkan komitmen pihak universiti dalam menyokong inisiatif mahasiswa untuk memperkasa kepimpinan, kebajikan serta pembangunan akademik dan sahsiah mereka.

Anggaran peruntukkan kepada badan pelajar secara keseluruhan

Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan dan meluluskan peruntukan kewangan kepada badan pelajar bagi memastikan kelangsungan program serta inisiatif yang memberi manfaat kepada mahasiswa.

Selain itu, ia juga berperanan sebagai platform perbincangan antara Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pihak universiti dalam memperkukuh kebajikan, kepimpinan, serta pembangunan holistik mahasiswa selaras dengan aspirasi institusi pendidikan tinggi.

Universiti sentiasa komited dalam menyokong program dan inisiatif yang dipelopori oleh mahasiswa, selaras dengan usaha membentuk graduan yang berdaya saing, berkepimpinan serta cakna terhadap keperluan masyarakat.

Peruntukan yang diberikan kepada badan pelajar ini adalah manifestasi kepercayaan pihak universiti terhadap keupayaan mahasiswa dalam melaksanakan program yang bermanfaat.

Justeru, diharapkan agar dana yang diperuntukkan ini dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab, integriti, dan memberi impak positif kepada komuniti pelajar.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyeru semua badan pelajar untuk memanfaatkan peruntukan yang telah diluluskan bagi menjalankan program yang berimpak tinggi serta memberi manfaat kepada mahasiswa secara menyeluruh.

Anggaran peruntukkan kepada badan pelajar dipecahkan mengikut kluster

Dana ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi satu peluang untuk memperkasa kepimpinan, kebajikan, serta pembangunan sahsiah mahasiswa melalui pelbagai aktiviti yang dirancang.

Oleh itu, MPP menggalakkan setiap badan pelajar untuk merancang dan melaksanakan program dengan penuh tanggungjawab, inovatif, serta sejajar dengan visi dan misi universiti bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh komuniti kampus.

Mesyuarat ini membincangkan pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh badan pelajar melalui peruntukan yang telah diluluskan.

Antara program yang dirancang termasuk aktiviti khidmat sosial seperti gotong-royong dan kempen kesedaran komuniti, pengurusan kemanusiaan melalui latihan kepimpinan dan bengkel kemahiran insaniah, serta pendidikan berkualiti yang merangkumi sesi bimbingan akademik dan forum ilmiah.

Selain itu, kesihatan dan kesejahteraan mahasiswa turut diberi perhatian melalui program kesihatan percuma dan kempen gaya hidup sihat, sementara kelestarian alam sekitar diperkasa menerusi aktiviti penanaman pokok serta program kitar semula.

Dalam aspek advokasi dan kepimpinan, pelbagai sesi dialog bersama pihak pengurusan universiti serta latihan pengurusan organisasi akan dianjurkan bagi memperkasakan suara mahasiswa.

Setiap aktiviti ini dirangka bagi memastikan pembangunan holistik mahasiswa merangkumi aspek akademik, kepimpinan, dan kesejahteraan sosial.

Sehingga kini, sejumlah RM6,075.00 telah dimohon oleh badan pelajar daripada pelbagai kelab dan persatuan yang mewakili pelbagai kluster di universiti.

Ini menunjukkan keperluan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa untuk mendapatkan sokongan kewangan bagi melaksanakan aktiviti yang bermanfaat.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berbesar hati untuk terus menyokong usaha badan pelajar dalam menjayakan program yang berimpak tinggi demi kesejahteraan dan pembangunan mahasiswa.

Selain itu, kami di peringkat MPP juga mengalu-alukan sebarang bentuk tajaan daripada badan pelajar, dengan syarat setiap penajaan mematuhi kriteria yang telah ditetapkan.

Dengan adanya kerjasama yang erat antara MPP, badan pelajar, serta pihak penaja, diharapkan aktiviti yang dirancang dapat direalisasikan dengan lebih berkesan dan memberi manfaat kepada seluruh komuniti kampus.