Muallim, 14 Mac 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memanfaatkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan dengan menganjurkan program Misi Fajar Ramadan. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pegawai Daerah Muallim, Ketua Polis Daerah Muallim (OCPD), IPD Muallim, pegawai-pegawai polis Muallim, Waqaf, Endowment, Zakat, Khairat & Sadaqah (Wezas), Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPSI. Objektif utama program ini adalah untuk menyantuni petugas barisan hadapan yang bertugas demi menjaga keselamatan masyarakat sepanjang malam.

Seramai 40 anggota yang terdiri daripada ahli MPP, staf UPSI dan sukarelawan UPSI bersama-sama terlibat dalam menjayakan program ini. Bermula dari jam 12 tengah malam sehingga 5 pagi, pengagihan makanan sahur telah diketuai oleh Sarjan Noorzat Noorbait dari Bahagian Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti (BPJKK). Konvoi ini turut melibatkan enam kenderaan bagi memastikan pengagihan berjalan lancar.

Sebanyak 200 pek makanan sahur berjaya diagihkan ke pelbagai lokasi strategik seperti Plaza Tol Tanjong Malim, Balai Polis Hulu Bernam, Balai Bomba Tanjong Malim, Balai Polis Tanjong Malim, Tol Behrang, Balai Polis Behrang Stesen, Exit Plaza Tol Slim River, Hospital Slim River, Balai Bomba Slim River, JPAM Slim River dan IPD Muallim. Kehadiran YB Salina Samsudin (ADUN Behrang) dan Ahmad Raizol Ramli (wakil Timbalan Naib Canselor UPSI) menyemarakkan lagi suasana program di mana mereka turut serta dalam proses pengagihan makanan sahur kepada para petugas barisan hadapan.

Destinasi terakhir konvoi di IPD Muallim telah disambut mesra oleh pegawai-pegawai polis IPD Muallim. Makan sahur turut diadakan bersama-sama dalam suasana yang penuh harmoni, menyemai rasa kekeluargaan di antara mahasiswa UPSI dan penjawat awam yang telah berbakti untuk kesejahteraan masyarakat. Kerjasama ini menjadi simbol kukuhnya semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan semua pihak yang terlibat.

Menurut YB Salina, Misi Fajar Ramadan adalah platform yang sangat baik untuk mahasiswa memahami pengorbanan dan tanggungjawab penjawat awam yang bertugas demi masyarakat. Beliau menekankan bahawa program seperti ini memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang nilai kebajikan dan semangat kesungguhan, khususnya dalam menyambut Ramadan yang penuh keberkatan.

Petugas barisan hadapan menyatakan penghargaan yang mendalam atas sumbangan dan usaha yang dilakukan. Menurut Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir, Ketua Polis Daerah Muallim, program ini adalah langkah signifikan yang memupuk semangat kebajikan, mengangkat nilai Ramadan dan memperkukuh hubungan antara UPSI dan masyarakat. Beliau berharap agar kerjasama yang dilakukan ini tidak terhenti setakat disini sahaja dan program sebegini terus menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif yang bermakna di masa hadapan.