Muallim, 12 Mac 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Bubur Lambuk Perdana yang bertempat di Masjid Al-Mursyidin UPSI. Program ini bertujuan mengeratkan lagi silaturahim antara masyarakat setempat, agensi luar dan MPP UPSI di samping menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan melalui amalan bersedekah makanan berbuka puasa.




Program ini turut melibatkan pelbagai agensi luar seperti ADUN Behrang, Pusat Khidmat Masyarakat Behrang, Pegawai Khas Menteri Besar Perak (DUN Slim), dan Terusan Emas Enterprise. Mereka bersama-sama bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sejak pagi hingga petang sebelum diagihkan kepada masyarakat setempat di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti. Suasana bertambah meriah dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Tuan Haji Mohd Zaidi Aziz (Pegawai Khas Menteri Besar Perak, DUN Slim), yang turut sama berganding bahu memasak bubur lambuk di Masjid Al-Mursyidin UPSI.

Sebanyak 1,600 bungkus bubur lambuk telah diagihkan ke pelbagai lokasi termasuk Masjid At-Taqwa Proton City, Masjid Jamek Tanjong Malim, Masjid Al-Ikhwan Taman Bernam Baru, Masjid Behrang 2020, SDJ Kota Malim Prima, SDJ Proton City, dan Masjid Al-Mursyidin UPSI. Daripada jumlah ini, 600 bungkus telah diagihkan sempena majlis berbuka puasa perdana UPSI yang dihadiri oleh mahasiswa, staf UPSI dan masyarakat setempat. Selebihnya, sebanyak 1,000 bungkus lagi telah diagihkan ke lokasi-lokasi sekitar Tanjong Malim dan Behrang.
Pihak penganjur melalui MPP UPSI, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbangkan dana penajaan bagi menjayakan program ini. Semoga setiap bungkus bubur lambuk yang diagihkan mampu menghadirkan senyuman dan rasa syukur di kalangan penduduk Muallim yang menerima. Diharapkan juga, kerjasama yang terjalin melalui program ini dapat terus diperkukuhkan agar lebih banyak program berimpak dapat dilaksanakan demi kesejahteraan warga Muallim.