Oleh: DR. NURUL SYAFIQAH YAP ABDULLAH dan AZHAD KHALIS ABDUL AZIZ
BEHRANG, 16 MAC 2024 – MYSaveFood @ Ramadhan tahun ini kini berlangsung di Bazaar Ramadhan Bandar Behrang selama 3 hari iaitu 14 – 16 Mac 2025.
Program ini merupakan program anjuran Persatuan Harmoni UPSI dengan kerjasama tiga pihak agensi luar iaitu Majlis Daerah Tanjung Malim, Belia Harmoni Malaysia dan Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA).
Ia diketuai oleh Azhad Khalis Abdul Aziz, pelajar Semester 6 jurusan Pendidikan Fizik selaku Pengarah Program merangkap YDP Harmoni UPSI berjaya memberi pendedahan positif kepada peniaga-peniaga di bazaar ramadhan serta masyarakat sekeliling.


Projek SaveFood berasal daripada Food and Agriculture Organization (FAO), iaitu sebuah badan antarabangsa yang bermatlamat membasmi kelaparan dan meningkatkan nutrisi serta keselamatan pemakanan.
Maka, Malaysia mengambil inisiatif ini dengan menubuhkan MYSaveFood @ Ramadhan yang digerakkan KPDN dengan kerjasama rakan strategik, Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) yang kian mendapat sambutan memberangsangkan dari peniaga-peniaga seluruh negara.
MYSaveFood @ Ramadhan merupakan satu inisiatif pengurusan sisa makanan (Food Waste Management) di bazar Ramadan secara berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Inisiatif ini selaras dengan “Matlamat Pembangunan Mampan” (Sustainable Development Goals) (SDG) 12.3 iaitu pengurangan separuh daripada sisa makanan global per kapita menjelang tahun 2030.


Menurut laporan Bernama pada 20 Mac 2024, sebanyak 8.1 tan makanan bazaar ramadhan seluruh Malaysia berjaya diselamatkan pada tahun 2024.
Program yang telah berlangsung selama 3 hari ini mendapat kerjasama daripada sukarelawan dari UPSI dan serta sukarelawan daripada masyarakat Tanjung Malim.

Makanan dan minuman yang terkumpul daripada peniaga-peniaga akan ditimbang, dikategorikan mengikut jenis makanan, dibungkus dan dilabelkan stiker pesanan mesra kepada penerima makanan dengan moto ‘LIHAT, HIDU, RASA’. Seterusnya setiap bungkusan makanan dan minuman ini akan diedarkan kepada keluarga asnaf, masjid-masjid dan surau-surau yang berdekatan.


Hasil makanan dan minuman yang terkumpul selama program 3 hari ini berjaya mencatatkan jumlah berat sebanyak 324.23kg yang terdiri daripada nasi, kuih-muih, mee, mihun, kuewteow, bubur, makanan goreng serta minuman beraneka jenis.
Dr. Nuurl Syafiqah Yap Abdullah selaku salah seorang Penasihat Harmoni UPSI dan barisan ahli jawatankuasa, menyatakan harapan agar program ini dapat memberi pendedahan terhadap usaha penjimatan makanan serta inspirasi kepentingan berinfaq sempena bulan Ramadhan yang mulia ini.
Beliau juga menyatakan harapan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa yang akan datang agar dapat membantu lebih ramai insan-insan yang memerlukan.