Oleh: Nur Alia Zahirah Zainon Hamzah Tai
Tanjong Malim, 24 Februari 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama pihak Seksyen Kebajikan Perkhidmatan dan Perumahan (SKPP) telah menjalankan pemantauan berkala terhadap harga makanan dan kebersihan kafe di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Tinjauan ini dilakukan sebagai langkah memastikan harga makanan yang ditawarkan adalah berpatutan serta kebersihan premis makanan terjaga demi kesejahteraan mahasiswa.
Tinjauan ini dijalankan berlandaskan dua sebab yang utama iaitu pemantauan bulanan SKPP bagi menilai tahap perkhidmatan kafe dan seterusnya sebagai tindak balas terhadap isu yang tular di media sosial berhubung aduan pelajar mengenai harga makanan yang dikatakan mahal.

Inisiatif pemantauan ini bertujuan untuk memastikan harga makanan yang dijual di kafe UPSI dipamerkan dengan jelas agar pelajar lebih mudah membuat pilihan secara telus.
Selain itu, pemantauan ini juga berperanan dalam meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di kafe kampus, memastikan mahasiswa memperoleh pengalaman makan yang lebih baik.
Di samping itu, langkah ini memudahkan mahasiswa mengemukakan aduan berkaitan harga dan kualiti makanan secara sistematik, sekaligus mewujudkan persekitaran yang lebih mesra dan responsif terhadap kebajikan pelajar.
Tambahan pula, pemantauan ini menjadi satu platform untuk pihak pengurusan universiti berinteraksi secara langsung dengan pelajar dan mendapatkan maklum balas tentang tahap kepuasan mereka terhadap perkhidmatan makanan di kampus
Dalam ucapan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Profesor Dr. Norkhalid Salimin, beliau turut menyentuh tentang inisiatif pemantauan harga dan kebersihan kafe yang telah dijalankan oleh SKPP dan MPP.
Beliau menegaskan bahawa pemantauan ini bukan sekadar memastikan harga makanan yang berpatutan, tetapi juga untuk menjamin kebersihan dan keselamatan makanan bagi kesejahteraan mahasiswa.
Tambah beliau, pihak universiti sentiasa komited dalam menambah baik kemudahan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan kebajikan pelajar, dan usaha pemantauan ini menjadi bukti kepada kesungguhan tersebut.
Encik Abdul Ghani Mansor telah menyatakan bahawa tinjauan dan pemantauan ini bertujuan memastikan kepatuhan kepada garis panduan harga makanan, tetapi juga sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan kafe supaya mahasiswa mendapat persekitaran makan yang lebih selamat dan selesa.
Beliau turut menegaskan bahawa maklum balas daripada mahasiswa sangat penting dalam usaha memperbaiki perkhidmatan makanan di kampus.
Sebagai langkah yang lebih proaktif, pihak Gemilang telah menyediakan poster khas untuk pelajar membuat aduan berkaitan harga dan kualiti makanan.
Poster ini ditampal di bahagian dinding sinki setiap kafe bagi memudahkan pelajar mendapatkan maklumat.
Selain itu, pihak Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal pelajar (BHEP) juga telah menyediakan dan melakukan hebahan berkenaan Qr kod untuk tinjauan harga makanan di kafe.
Selain memastikan pematuhan terhadap harga makanan yang ditetapkan, tinjauan ini juga menekankan aspek kebersihan persekitaran kafe.
Faktor kebersihan memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan pelajar, terutama dalam mengelakkan risiko penyakit bawaan makanan.
Justeru, pemilik kafe dan pengusaha makanan disarankan untuk sentiasa mengekalkan kebersihan di dapur, ruang penyediaan makanan, serta kawasan tempat duduk pelanggan.
Ini termasuklah pemakaian sarung tangan dan penutup kepala oleh pekerja kafe, penyimpanan bahan mentah yang selamat, dan pematuhan kepada standard keselamatan makanan yang telah ditetapkan.
Selain itu, pihak pengurusan kafe turut digalakkan untuk menyediakan Menu Rahmah sebagai alternatif makanan yang lebih mampu milik untuk mahasiswa.
Menu Rahmah ini bertujuan untuk memastikan setiap pelajar, termasuk mereka yang mempunyai kekangan kewangan, dapat menikmati makanan yang berkhasiat pada harga yang berpatutan.
Keberadaan Menu Rahmah ini di setiap kafe juga diharap dapat mengurangkan beban kewangan mahasiswa dan memberikan lebih banyak pilihan makanan yang seimbang serta berkualiti.
SKPP juga akan meneruskan tinjauan secara berkala setiap bulan untuk memantau harga makanan dan kebersihan kafe.
MPP Kebajikan juga akan terlibat dalam setiap sesi pemantauan bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara. Dengan adanya pemantauan berkala ini, diharapkan pengusaha kafe dapat lebih bertanggungjawab dalam memastikan perkhidmatan makanan mereka sentiasa menepati standard yang ditetapkan.
Usaha pemantauan berkala ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada kesejahteraan mahasiswa UPSI.
Kerjasama antara pihak SKPP, Gemilang, dan MPP adalah kunci kepada penambahbaikan kualiti perkhidmatan makanan di kampus.
Semua pihak diseru untuk bersamasama memainkan peranan dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara.
Dengan adanya inisiatif ini, UPSI terus berusaha untuk mewujudkan budaya pemakanan yang lebih sihat dan berkualiti bagi mahasiswa.
Diharapkan pemantauan secara berterusan ini dapat menjadi mekanisme efektif dalam memastikan harga makanan yang lebih berpatutan dan perkhidmatan kafe yang lebih baik di masa akan datang.
