Oleh: Anis Syahira Ahmad Shukri

Tanjung Malim, 25 Februari 2025 – Kolej Vokasional Bachok telah mengadakan Program Eksplorasi Kepimpinan dan Rehat Minda ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh kualiti pengurusan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar asrama melalui perkongsian ilmu dan pengalaman bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2024/2025.

Sepanjang sesi perkongsian ini, para pelajar asrama Kolej Vokasional Bachok telah didedahkan kepada struktur organisasi, sistem pengurusan, serta amalan terbaik MPP UPSI dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Selain itu, program ini turut memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami kaedah perancangan strategik, pengurusan sumber, serta keberkesanan pelaksanaan program dalam organisasi pelajar.

Ice breaking antara pelajar KV Bachok dan MPP UPSI

Program Eksplorasi Kepimpinan dan Rehat Minda Pelajar Asrama Kolej Vokasional Bachok ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan satu inisiatif strategik yang bertujuan memperkukuh kualiti pengurusan dan kepimpinan dalam kalangan  Pelajar Asrama Kolej Vokasional Bachok.

Lawatan ini dirancang untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang amalan terbaik, struktur organisasi dan kaedah pengurusan MPP di institusi pengajian tinggi seperti UPSI. 

Program ini juga meningkatkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan dalam kalangan pelajar asrama Kolej Vokasional Bachok melalui pembelajaran daripada pengalaman dan pendekatan yang diamalkan oleh MPP UPSI.

Justeru seterusnya, dapat membina hubungan profesional dan rangkaian kerjasama antara Kolej Vokasional Bachok dan MPP UPSI.

Program ini melibatkan 70 pelajar Kolej Vokasional Bachok bersama 7 pensyarah yang hadir ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ketibaan mereka disambut mesra oleh pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI.

Sementara itu, Pengarah Program, Terrie Nana Stephen Kelat, menegaskan bahawa program ini bukan sekadar satu lawatan akademik, tetapi juga satu platform penting untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepimpinan dan pengurusan organisasi secara praktikal.

Beliau menyatakan bahawa program ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk belajar di luar bilik darjah dan memperoleh kemahiran kepimpinan yang lebih baik dalam menguruskan organisasi pelajar dengan lebih berkesan.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa peningkatan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar bukan sahaja mempersiapkan mereka sebagai pemimpin pelajar, malah membentuk individu yang lebih berkeyakinan dan berkebolehan dalam menghadapi cabaran dunia sebenar.

Program ini merangkumi sesi penerangan mengenai struktur organisasi dan pengurusan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, termasuk strategi kepimpinan dan pelaksanaan program.

Pelajar turut diberikan pendedahan tentang peranan pemimpin pelajar di institusi pengajian tinggi serta berpeluang bertanya soalan mengenai pengurusan organisasi yang lebih sistematik.

Sesi penyampaian cenderahati kepada Ketua Unit Pengurusan Residensi, Encik Ahmad Ashraf

Selain itu, pelajar Kolej Vokasional Bachok telah melawat kawasan sekitar UPSI Sultan Azlan Shah, termasuk Perpustakaan Tuanku Bainun, bagi merasakan pengalaman suasana pembelajaran di universiti.

Program diakhiri dengan sesi jaringan, di mana pelajar berinteraksi dan berbincang mengenai potensi kerjasama dengan MPP UPSI.

Diharapkan, ilmu yang diperoleh dapat memperkasa kepimpinan dan pengurusan organisasi pelajar Hasil daripada lawatan ini, pelajar dapat memahami kepentingan kepimpinan yang cekap, sistem pengurusan yang teratur, dan keupayaan untuk melaksanakan inisiatif serta program yang dapat memberikan manfaat kepada komuniti pelajar di kolej vokasional.

Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dijadikan rujukan serta panduan dalam usaha meningkatkan kecekapan dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka sebagai pemimpin pelajar di kolej.

Semoga inisiatif sebegini dapat diteruskan dalam usaha memperkaya pengalaman serta kemahiran kepimpinan pelajar.