Oleh: Camelia Annis, Muhamad Amir Farhan Ahmad Ridzuan dan Nur Anis Farhana Rohizal

TANJUNG MALIM, 19 Januari 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program PETANQUE WORKSHOP: SKILL UP !!! bagi memberikan latihan intensif kepada atlet dan jurulatih dalam meningkatkan kemahiran teknikal serta pemahaman mereka dalam sukan petanque.

Menurut kenyataan penganjur, bengkel yang berlangsung selama dua hari pada 18 dan 19 Januari 2025 itu diadakan di Dewan Kuliah Pelajar 1 (DKP 1) dan Gelanggang Petanque KSAS UPSI.

Program ini menampilkan Atlet Petanque Negara, Encik Mohamad Nuzul Azwan Ahmad Temizi, sebagai penceramah utama bagi berkongsi pengalaman serta memberikan latihan teknikal kepada para peserta.

Encik Mohamad Nuzul Azwan berkongsi pengalaman beliau ketika berjaya melayakkan diri ke suku akhir acara Precision Shooting pada Kejohanan Petanque Dunia 2024.

Selain itu, beliau turut memberikan panduan mengenai teknik membaling bola, strategi permainan, serta persiapan mental untuk menghadapi pertandingan peringkat tinggi,” menurut kenyataan itu.

Program ini telah menarik penyertaan seramai 50 peserta terdiri daripada atlet, jurulatih, guru, serta wakil badan sukan.

Ia turut dihadiri oleh barisan pentadbiran, felo, Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, serta penghuni kolej selain menerima penyertaan daripada beberapa universiti awam lain.

Hari kedua bengkel dimulakan dengan sesi pemanasan serta taklimat ringkas sebelum peserta mengambil bahagian dalam Mini Games yang menguji ketepatan dan strategi permainan dalam format pertandingan sebenar.

Program kemudiannya diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang serta sesi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Menurut maklum balas peserta, bengkel ini memberikan pengalaman berharga serta meningkatkan pemahaman mereka mengenai sukan petanque.

Mereka turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai atlet petanque berkualiti.

Penganjur menyatakan bahawa mereka berhasrat menjadikan PETANQUE WORKSHOP: SKILL UP !!! sebagai acara tahunan bagi memastikan kesinambungan latihan serta peningkatan tahap profesionalisme dalam sukan ini.

Dengan sokongan berterusan daripada universiti, badan sukan dan pihak berkepentingan, sukan petanque diyakini mampu berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.