Oleh: Nur Shaira Basrah

Tanjong Malim, 2 Mac 2025 – Ramadhan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga peluang untuk memupuk kepimpinan berasaskan keprihatinan sosial.

Inilah semangat yang diterapkan dalam program “Syukur dan Ihsan: Bersama Menyantuni” oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program tiga hari ini menyatukan semangat ukhuwah, kesedaran sosial, dan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Bermula di Masjid Al-Mursyidin, peserta berkumpul untuk solat berjemaah, tazkirah, dan bacaan al-Quran. Program diteruskan dengan penyediaan serta agihan 100 pek makanan sahur kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Penyampaian Makanan Sahur kepada golongan B40/Asnaf

Pada keesokan harinya, peserta menjalankan gotong-royong membersihkan Surau Kampung Ketoyong, menyusun kitab al-Quran, serta memasak dan mengagihkan 600 pek bubur lambuk kepada penduduk kampung. Aktiviti ini mengukuhkan semangat gotong-royong dan kepedulian terhadap masyarakat sekitar.

Aktiviti Gotong Royong di Surau, Kampung Ketoyong, Tanjung Malim.
Aktiviti Gotong Royong Memasak Bubur Lambuk di Surau, Kampung Ketoyong, Tanjung Malim.

Seawal pagi, peserta menyediakan dan mengagihkan makanan sahur kepada pelajar yang memerlukan. Seterusnya, mereka menuju ke National Child Development Research Centre (NCDRC), UPSI untuk sesi ice breaking, senamrobik, bengkel kraf tangan, dan sukaneka bagi membina kemahiran sosial serta fizikal.

Pada sebelah malam, peserta bersama-sama menunaikan solat Maghrib, bacaan Yaasin, solat Isyak, dan tarawih berjemaah, menambah lagi keberkatan Ramadhan.

Program memuncak dengan ceramah motivasi oleh Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre bertajuk “Bagaimana Belia Menghidupkan Ramadhan”, memberi kesedaran kepada belia tentang kepentingan ibadah dan kebajikan.

Aktiviti Bersama Kanak-kanak NCDRC, UPSI
Aktiviti Bersama Kanak-kanak NCDRC, UPSI
Ceramah motivasi oleh Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre

Acara diteruskan dengan agihan bantuan kepada golongan B40, asnaf, anak yatim, serta fakir miskin, diakhiri dengan iftar jamaei bersama anak-anak yatim, mencipta momen kebersamaan dan kasih sayang.

Program “Syukur dan Ihsan: Bersama Menyantuni” bukan sekadar aktiviti kebajikan, tetapi satu usaha menyemai nilai kemanusiaan dalam diri generasi muda.

Ramadhan mengajar kita bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi juga membersihkan hati, memperbaiki akhlak, dan memberi manfaat kepada orang lain.

Semoga program ini menjadi contoh terbaik dalam menghidupkan bulan mulia ini dengan penuh keberkatan dan impak positif kepada masyarakat.