Oleh: Cik Afifah Adriana Aznan
Tanjong Malim, 9 Mac 2025 – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil peluang dalam mengimarahkan bulan Ramadan dengan menyantuni barisan hadapan dalam program Jom Sahur Bersama Frontliner Muallim selama dua hari pada 8 dan 9 Mac baru-baru ini.


Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, Program Jom Sahur bersama Frontliner Muallim ini adalah salah satu medium yang sangat baik untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat, khususnya bersama para frontliner yang berkorban demi keselamatan dan kesejahteraan orang ramai sepanjang bulan Ramadan.



“Alhamdulillah, sambutan program yang dianjurkan sangat meriah dan sebanyak 100 pek juadah sahur telah berjaya diagihkan kepada petugas-petugas barisan hadapan iaitu di Balai Polis dan Balai Bomba dan Penyelamat di sekitar Daerah Muallim.
“Keberkatan Ramadan dalam program Jom Sahur Bersama Frontliner Muallim bukan sahaja memberi manfaat malah memberi peluang kepada semua yang terlibat untuk merasai keberkatan dan rahmat Ramadan dengan saling menghormati dan menghargai pengorbanan sesama kita” ujarnya.



Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, Program Jom Sahur Bersama Frontliner Muallim yang dianjurkan oleh UPSI ini merupakan satu inisiatif yang sangat bermakna dalam mengangkat nilai keberkatan bulan Ramadan dan berharap UPSI sebagai institusi pendidikan yang komited terhadap pembangunan masyarakat dapat terus mempamerkan komitmen dan kesungguhan dalam menggalakkan amalan kebajikan serta semangat kemasyarakatan.



“Saya percaya bahawa program ini bukan hanya memberikan kebaikan kepada frontliner, tetapi juga memperkukuhkan semangat kebersamaan dan mempertingkatkan kesedaran tentang pentingnya kesejahteraan sosial dalam masyarakat kita”.
