Oleh: Bazli Razak

TANJONG MALIM, 3 Mac 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti of Helsinki, University of Eastern Finland dan Universitas Djuanda dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik antarabangsa.

Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata, lawatan tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan pendidikan inklusif serta memperluaskan pertukaran ilmu antara institusi pengajian tinggi global.

Katanya, UPSI sentiasa menitikberatkan jalinan kerjasama antarabangsa bagi meningkatkan mutu pendidikan dan penyelidikan, termasuk dengan institusi ternama seperti Universiti Oxford, Universiti Otago dan Universiti Swansea.

Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus ketika menyampaikan kata aluan.

“Perkongsian ini akan memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk memperoleh pengalaman serta pendedahan dalam pertukaran ilmu dan amalan terbaik.

Lawatan berkenaan diadakan menerusi program ‘Inclusive Education in Co-Teaching Teams (INCO)’ yang bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih inklusif dan berdaya maju.

Program yang diadakan di bilik i-ZONE dan Digital Classroom, Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI ini turut mempertemukan pendidik serta penyelidik daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengalaman serta idea inovatif dalam bidang pendidikan.

Delegasi yang hadir turut diberikan taklimat mengenai peluang kerjasama yang boleh dijalinkan, termasuk dalam penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan penganjuran persidangan akademik.

“UPSI percaya inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam penyelidikan, mobiliti pelajar dan kecemerlangan akademik,” tambah kenyataan itu.

Tambah beliau, lawatan ini menjadi platform terbaik untuk memperkukuhkan hubungan akademik dan penyelidikan antara UPSI dan institusi luar negara.

“Kami melihat ini sebagai satu peluang yang amat berharga untuk membina hubungan strategik yang lebih erat dalam bidang akademik dan penyelidikan, terutama dalam aspek pendidikan inklusif yang semakin mendapat perhatian global,” ujar beliau.

Sementara itu, ahli panel University of Helsinki, Dr. Olli-Pekka Malinen berkata, melalui kerjasama seperti ini, Universiti of Helsinki, University of Eastern Finland dan Universitas Djuanda serta UPSI dapat terus memperkasakan kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

Ahli panel University of Eastern Finland, Dr. Katariina Waltzer ketika menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus
Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus (kiri) menyampaikan cenderamata kepada ahli panel University of Helsinki, Dr. Olli-Pekka Malinen.
Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus ketika menerima cenderamata daripada ahli panel Universitas Djuanda, Prof Dr. Rasmitadila

“Kami berharap hubungan yang terjalin ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada semua pihak terlibat, bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi juga dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi di institusi pendidikan tinggi seluruh negara.

“Lawatan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha kolaboratif pada masa hadapan dan menyatakan komitmen untuk meneruskan hubungan strategik demi memastikan pendidikan inklusif yang berkualiti dapat dinikmati oleh semua pihak,” katanya.