Sesi bergambar bersama sebilangan penerima sumbangan
Oleh: Masturiana Mohd Basri
Shah Alam, 6 Mac 2025 – Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Yayasan Peramah telah menyantuni 50 pelajar asnaf dalam Program Santunan Kasih Ramadan 2025 yang berlangsung di Kompleks Budisiswa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, hari ini. Program ini bertujuan meringankan beban pelajar asnaf serta membantu mereka menghadapi bulan Ramadan yang penuh keberkatan.


Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh yang turut menyerahkan bantuan berbentuk wang tunai kepada para penerima terpilih. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Pusat Ulul Albab dalam menyokong kebajikan pelajar yang memerlukan, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Program Santunan Kasih Ramadan 2025 ini adalah manifestasi keprihatinan serta tanggungjawab sosial kami terhadap pelajar asnaf UiTM. Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan mereka dan membolehkan mereka terus fokus kepada pengajian tanpa tekanan kewangan,” kata Dr. Sakinah Salleh.
Salah seorang penerima, Norlisa Syadina Shaiful Azam, melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima. “Sumbangan ini amat bermakna bagi saya kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan dan membantu saya lebih fokus terhadap pelajaran, terutamanya dalam bulan Ramadan. Saya amat berterima kasih kepada Pusat Ulul Albab dan UiTM atas inisiatif ini,” katanya.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama para penerima sumbangan sebagai simbolik penghargaan dan kenangan. Diharapkan, program ini dapat memberi manfaat berterusan kepada golongan asnaf serta menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif kebajikan pada masa akan datang.