Oleh: Fayyadhatul Alyaa Ahmad Misnun
Kuala Terengganu, 17 Mac 2025– Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Bahagian Pengangkutan UPSI telah menganjurkan pameran dan ceramah kesihatan mental khas untuk kakitangan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UMT. Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam kalangan kakitangan akademik dan pentadbiran universiti.
Sebahagian daripada program ini adalah pameran kesihatan mental dalam bas pendidikan, di mana peserta berpeluang mendapatkan maklumat mendalam tentang cara menjaga kesihatan mental, mengenali simptom stress, kebimbangan, kemurungan serta meneroka teknik pengurusan emosi yang berkesan. Pameran interaktif ini turut menampilkan bahan pembelajaran, kaedah terapi, dan perkhidmatan sokongan yang boleh dimanfaatkan oleh staf universiti.
Selain itu, satu ceramah dan aktiviti kesihatan mental telah dilakukan oleh Ahmad Shazwi bagi memberikan tarikan dan pendedahan mengenai cabaran kesihatan mental di tempat kerja, kepentingan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, serta strategi menangani tekanan dengan lebih efektif. Sesi ini juga turut dilakukan dengan ujian saringan kesihatan mental iaitu menggunakan Depression, Anxiety, Stress Skill (DASS 21).


Sesi pemberian cenderamata oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) kepada pegawai Pusat Kaunseling
Program ini mendapat sambutan positif daripada para peserta yang melihatnya sebagai satu inisiatif penting dalam menyokong kesejahteraan mental di tempat kerja. Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UMT, Prof Dr Izani, ini merupakan sebuah perkara yang baharu bagi warga UMT dan berterima kasih kepada UPSI terutama Pusat Kaunseling kerana berkongsi perkhidmatan fasiliti yang ada dan beliau teruja dengan kemudahan yang disediakan serta pendedahan maklumat mengenai perkhidmatan kaunseling dan isu-isu kesihatan mental yang didedahkan kepada komuniti melalui bas ini adalah pendekatan yang baik.


Menurut Prof Dr. Izani lagi, melalui lawatan ini, ia dapat mewujudkan semangat keserakanan antara universiti-universit dan berharap pada suatu hari nanti pihak UMT turut memiliki bas sebegini dan Diharapkan program sebegini dapat diperluaskan ke institusi lain bagi membantu lebih ramai individu memahami dan mengutamakan kesihatan mental mereka.
