Oleh: Fayyadhatul Alyaa Ahmad Misnun

Rantau Panjang, 16 Mac 2025– Jelajah Counselor On Wheel diteruskan lagi ke SMK Kompleks Rantau Abang dengan kerjasama Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Bahagian Pengangkutan UPSI. Program yang berlangsung ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah serta kepentingan menjaganya.

Salah satu tarikan utama program ini ialah pameran pendidikan yang dijalankan di Bas Pendidikan UPSI. Pameran ini berpeluang memberikan maklumat interaktif mengenai kepentingan kesejahteraan mental, tips dan teknik penjagaan kesihatan mental dan cara mengatasi stress sewaktu peperiksaan serta sumber bantuan yang tersedia bagi isu kesihatan mental. Pelbagai bahan pameran seperti poster pendidikan, alat bantu terapi dan sesi kaunseling disediakan bagi pelajar mempelajari pelbagai isu dan teknik menangani kesihatan mental.

Murid Tingkatan 4 berkumpul di surau dan akan menjalankan aktiviti
Sesi bersama Alumni SMK Kompleks Rantau Abang
Pengetua melawat bas pameran UPSI
Lawatan murid-murid SMK Kompleks Rantau Abang melawat bas UPSI

Selain itu, sesi ceramah kesihatan mental turut diadakan untuk murid-murid Tingkatan 4 ini dikendalikan oleh kaunselor pelatih yang berkongsi tentang kepentingan menjaga kesihatan mental, mengenali tanda-tanda awal stres serta gangguan emosi dan kaedah mengatasinya. Murid-murid juga diberikan ruang untuk bertanya soalan serta berkongsi pengalaman berkaitan cabaran mental yang dihadapi dalam kehidupan seharian mereka. Sesi Talk oleh Alumni sekolah tersebut yang sekarang telah berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris turut diselitkan dalam program ini bagi memberikan pengalaman kepada para pelajar mengenai kepentingan pendidikan.

Program ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada murid-murid dan guru-guru, yang melihatnya sebagai satu inisiatif berharga dalam memperkukuhkan kesedaran serta kepentingan menjaga kesihatan mental. Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti di masa akan datang.