TANJONG MALIM, 16 April 2025 – Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menganjurkan Program Latihan dan Serahan Projek Intervensi Penerimaan Teknologi untuk mengukuhkan keterjaminan makanan di Pusat Latihan Kemahiran Pertanian, UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.

Program ini diadakan di bawah inisiatif Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024 yang bertujuan memberi latihan kepada peserta mengenai kaedah penanaman menggunakan sistem microfarm dan greenkit, iaitu teknologi terkini yang diperkenalkan oleh penyelidik MARDI.

Seramai 40 peserta terdiri daripada 10 orang kakitangan akademik FTV dan 30 orang pelajar telah menyertai program ini. Latihan dikendalikan oleh pegawai-pegawai MARDI yang diketuai oleh Pengurus Stesen MARDI Kuala Kangsar, Mohammad Ammaruddin Mohamed Amin.

Ketua Jabatan Sains Pertanian FTV, Ts. Dr. Fazhana Ismail dalam ucapannya menyatakan bahawa program ini memberi impak besar terutama kepada UPSI sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang melatih bakal guru dalam bidang sains pertanian. Jabatan Sains Pertanian merupakan salah sebuah institusi pengajian yang berjaya menerima teknologi ini daripada pihak MARDI pada tahun 2024.

“Teknologi baharu yang diperkenalkan MARDI ini berupaya menyokong kelestarian aktiviti penanaman tanaman, khususnya dalam usaha menghasilkan makanan secara mampan dan berskala kecil,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar kerjasama strategik dengan pihak MARDI dapat diteruskan lagi menerusi satu memorandum persefahaman (MoU) yang dijadualkan akan dimeterai pada Mei 2025.

Program ini selari dengan matlamat negara untuk meningkatkan keterjaminan makanan melalui pemindahan teknologi kepada institusi pendidikan dan komuniti, sekaligus menyemai semangat inovasi dalam kalangan generasi muda.