Rombongan dari Tadika NCDRC UPSI bergambar bersama di Ruang Masuk Perpustakaan Raja Tun Uda
Oleh: Noor Sharizad binti Rohaizad
Shah Alam, 16 April 2025- Seramai 23 orang kanak-kanak TADIKA Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak (NCDRC) menyertai program lawatan ke Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Program yang dirancang adalah bertujuan untuk memupuk serta mewujudkan semangat membaca dalam diri kanak-kanak. Selain itu, perpustakaan juga merupakan ruang kolaboratif yang dapat meningkatkan motivasi untuk kanak-kanak belajar. Ketika program berlangsung, kanak-kanak berpeluang melakukan aktiviti mewarna yang dianjurkan oleh pihak perpustakaan. Kanak-kanak juga berpeluang bermain secara bebas di ruang yang disediakan. Selain itu, kanak-kanak sangat teruja kerana berpeluang bermain permainan interaktif dua dimensi (2D) serta menonton wayang gambar yang disediakan di ruangan khas perpustakaan.

Pengiring lawatan, Zaim Ramli berharap lawatan yang dianjurkan dapat memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan kepada kanak-kanak dan menambah semangat kanak-kanak untuk menimba ilmu. Beliau juga berharap kanak-kanak akan terus berminat untuk ke perpustakaan pada masa yang akan datang.

Program yang dijalankan ini, mendapat sokongan penuh daripada pihak ibu bapa serta pihak pengurusan. Menurut seorang guru pelatih TADIKA NCDRC, Michelle Injan anak Jamal, “lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang perpustakaan awam serta kepentingannya dalam masyarakat, selain merealisasikan pengetahuan pembelajaran melalui pengalaman sebenar di luar bilik darjah.” Objektif lawatan ini antaranya adalah bagi memupuk nilai murni seperti tolong-menolong, bekerjasama dan bertanggungjawab, serta meningkatkan pengetahuan am dan kemahiran sosial kanak-kanak.
Program anjuran guru pelatih yang juga pelajar Diploma UPSI semester 5, program Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sesi 2024/2025. Program ini melibatkan dua kelas tadika iaitu kelas 5 Earth dan 6 Uranus. Menurut guru kelas iaitu Naziroh Romli, pendedahan kanak-kanak kepada persekitaran perpustakaan ini diharap dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap bahan bacaan sejak kecil lagi. Kanak-kanak didedahkan dengan pelbagai sumber bacaan yang menarik minat kanak-kanak untuk cintakan buku. Kanak-kanak juga dapat mengetahui kepelbagaian jenis sumber bacaan yang menarik yang boleh dipilih di perpustakaan. Menurut beliau lagi, program yang dirancang dapat mengeratkan hubungan antara mahasiswa mahasiswi, ibu bapa dan pihak NCDRC serta mengukuhkan hubungan sosial dalam serta luar komuniti sekolah.
Hasil lawatan menunjukkan bahawa kanak-kanak bukan sahaja mendapat ilmu pengetahuan melalui aktiviti pembelajaran di perpustakaan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan moden, kanak-kanak juga mengalami pengalaman sosial dan emosi seperti keyakinan diri, semangat kerjasama, dan penghargaan terhadap persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran bermakna. Lawatan yang dianjurkan berjaya menggabungkan aspek pembelajaran dengan pengalaman sosial yang dapat meningkatkan perkembangan pembelajaran secara holistik.

Selain itu, penerapan nilai Pendidikan untuk Pembangunan Lestariatau juga lebih dikenali sebagai Education for Sustainable Development (ESD) juga ditekankan melalui lawatan yang dijalankan. Melalui lawatan ini, nilai ESD diterapkan dengan memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang kepentingan menjaga kemudahan awam dan menghargai sumber ilmu yang tersedia. Kanak-kanak dididik untuk menggunakan ruang perpustakaan dengan beretika dan penuh tanggungjawab, selaras dengan prinsip pembangunan lestari yang menekankan pemeliharaan sumber untuk generasi akan datang. Selain itu, aktiviti seperti mewarna dan bermain permainan interaktif juga menanamkan kesedaran terhadap penggunaan bahan dan teknologi secara berhemah serta menghormati kepelbagaian dalam pembelajaran. Pendekatan lawatan berasaskan pengalaman ini memperkukuh kemahiran insaniah dan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, toleransi, serta sikap ingin tahu terhadap dunia sekeliling, yang merupakan teras dalam pendidikan untuk pembangunan lestari. Lawatan ini secara tidak langsung membentuk sikap dan tindakan kanak-kanak ke arah menjadi warganegara global yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap komuniti serta alam sekitar mereka.
