oleh: Siti Salwa Jamaldin

TANJONG MALIM, 29 Mei 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memainkan peranan aktif sebagai peneraju pendidikan berteraskan warisan budaya melalui penganjuran program Layar Seni @ BITARA 3.0 yang dirasmikan hari ini di Panggung Percubaan, UPSI.

Majlis ini menyaksikan kehadiran tokoh-tokoh penting dalam bidang pendidikan dan kebudayaan dari dalam dan luar negara.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI, Puan Siti Salwa Jamaldin; Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Prof Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani serta Dr. Ghazali Din yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Dekan, Timbalan Pengarah dan Pengetua Bahagian Komunikasi Korporat.

Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tokoh budaya dari Indonesia iaitu Dr. Ayo Sunaryo, M.Pd., Ketua UPT Kebudayaan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), serta Dede Priana, S.Sn., M.Si, Ketua

Biro dari Institut Seni Budaya Indonesia (ISBI) Bandung. Wakil antarabangsa dari Bangladesh, Miss Lutfa Mahmuda Akter, turut hadir sebagai simbolik kepada keterbukaan dan hubungan budaya antara negara.

Program Layar Seni @ BITARA 3.0 merupakan satu platform kerjasama strategik yang menggabungkan usaha UPSI bersama Majlis Perwakilan Pelajar, Universitas Pendidikan Indonesia, Institut Seni Budaya Indonesia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia serta Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesenian dan kebudayaan, malah memperkukuh hubungan diplomasi budaya antara Malaysia dan Indonesia.

Program utama bakal berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun 2025 dan akan melibatkan dua lokasi utama iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL).

Pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk bengkel seni tari seperti Jaipong, tari klasik dan tarian tradisional Indonesia yang dijangka menarik penyertaan sehingga 500 orang daripada kalangan pelajar, komuniti dan institusi pendidikan.

Penganjuran program ini juga selari dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang merangkumi kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti, inovasi, pembangunan komuniti mampan serta jalinan kerjasama global.

Melalui penglibatan aktif dalam seni tari dan karya kreatif, program ini membantu membentuk generasi mahasiswa yang bukan sahaja celik seni tetapi juga mempunyai jati diri yang kuat serta berkemahiran tinggi dalam bidang seni warisan.

Layar Seni @ BITARA 3.0 membuktikan bahawa seni dan budaya mampu menjadi jambatan kukuh dalam mempererat hubungan antara universiti serta menyemai rasa hormat dan kefahaman budaya antara negara serumpun.

UPSI kekal komited untuk terus memperkasakan pendidikan seni dan budaya melalui platform berimpak tinggi seperti ini demi melahirkan graduan yang holistik serta berpaksikan nilai budaya dan warisan.