Oleh: Bazli Razak

TANJONG MALIM, 18 Januari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan seni dan budaya melalui penganjuran Loka Karya Siri 1: Vokal, anjuran Pusat Kebudayaan UPSI dengan kerjasama Kelab Seni Suara baru-baru ini.

Bengkel yang berlangsung di Studio Tari, Pusat Kebudayaan UPSI hari ini berjaya menarik penyertaan 70 peserta yang berminat mendalami teknik vokal, khususnya dalam seni muzik Nusantara.

Bermula pada jam 9 pagi, bengkel dikendalikan oleh penggiat muzik ghazal dan tradisional terkenal, Mohd Rozaidy Shukry atau lebih dikenali sebagai Rojer Kajol.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Professor Dr. Norkhalid Salimin berkata, penganjuran bengkel seperti ini sejajar dengan usaha universiti dalam memperkukuh peranan UPSI sebagai pusat kecemerlangan seni dan budaya di negara ini.

“Sebagai sebuah universiti pendidikan, UPSI bukan sahaja memberi tumpuan kepada bidang akademik, tetapi turut memainkan peranan penting dalam memastikan seni dan budaya terus berkembang.

“Kepakaran tenaga pengajar serta fasiliti yang tersedia menjadikan UPSI sebagai institusi pilihan dalam bidang seni, termasuk muzik, tarian dan teater.

Tambah beliau, program seperti Loka Karya ini juga menjadi platform bagi pelajar untuk mengasah bakat mereka selain membina keyakinan dalam seni persembahan.

“Melalui bengkel ini, peserta bukan sahaja memperoleh ilmu teknikal mengenai vokal, tetapi juga memahami aspek penghayatan dan penyampaian yang berkesan dalam sesebuah persembahan.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha UPSI dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga memiliki daya kreativiti tinggi.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI, Dr. Norzuraina Mohd Nor, turut menekankan kepentingan bengkel ini dalam memperkukuh keupayaan vokal peserta serta memberi pendedahan kepada warisan seni budaya yang semakin mendapat perhatian dalam industri kreatif.

Jelasnya, fokus utama bengkel tersebut adalah pendedahan kepada teknik pernafasan, lontaran suara serta penghayatan dalam persembahan vokal.

“Kepakaran UPSI dalam bidang seni dan budaya bukan sahaja tertumpu pada aspek akademik, tetapi juga melalui aktiviti kokurikulum dan bengkel seperti ini.

“Loka Karya Siri 1: Vokal adalah satu inisiatif penting dalam memastikan seni vokal tradisional terus berkembang dan diaplikasikan oleh generasi muda.

Tambah beliau, bengkel seperti ini membuka peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan tenaga pengajar yang berpengalaman serta memahami dengan lebih mendalam aspek teknikal dan interpretasi vokal dalam persembahan.

Penceramah, Roger Kajol  ketika menyampaikan topik berkenaan nyanyian melayu tradisional kepada peserta sempena program Loka Karya Siri 1: Vokal bertempat di Studio Tari, Pusat Kebudayaan UPSI
Para peserta sedang mendengar teknik nyanyian yang diberikan oleh penceramah, Roger Kajol sempena program Loka Karya Siri 1: Vokal bertempat di Studio Tari, Pusat Kebudayaan UPSI
Para peserta bergambar bersama penceramah serta barisan pegawai Pusat Kebudayaan UPSI sempena program Loka Karya Siri 1: Vokal bertempat di Studio Tari, Pusat Kebudayaan UPSI

Katanya, program ini bukan sahaja menyediakan platform pembelajaran tetapi turut membantu peserta meningkatkan keyakinan diri, mengeratkan hubungan dalam komuniti seni serta mempromosikan bakat pelajar UPSI.

“Penganjuran program seumpama ini memperkukuh peranan UPSI sebagai institusi yang menyokong perkembangan seni dan budaya serta berusaha mengetengahkan bakat pelajar, pensyarah dan alumni ke peringkat lebih tinggi,” katanya.