Oleh: Mohd Fahmi Mohd Yunus

Tanjong Malim, 18 Januari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan peranannya dalam memartabatkan seni dan budaya melalui penganjuran Loka Karya Siri 1: Vokal,  iaitu bengkel anjuran Pusat Kebudayaan UPSI dengan kerjasama Kelab Seni Suara. Bertempat di Studio Tari, Pusat Kebudayaan, program ini berjaya menarik penyertaan seramai 70 peserta untuk mendalami teknik-teknik vokal.

Penceramah (Roger Kajol) membicarkan topik berkenaan nyanyian melayu tradisional.

Bengkel  yang bermula sekitar jam 9.00 pagi itu dikendalikan oleh Mohd Rozaidy bin Shukry atau lebih dikenali dengan nama pentas beliau Rojer Kajol, penggiat muzik ghazal dan tradisional yang terkenal dalam industri muzik tempatan khususnya muzik tradisional. Tumpuan utama bengkel diadakan adalah untuk memberi pendedahan berkenaan teknik pernafasan, lontaran suara dan penghayatan dalam persembahan vokal. Bagi memantapkan pemahaman para peserta, sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) turut diadakan supaya para peserta mengaplikasikan teknik yang dipelajari secara praktikal. Di penghujung bengkel iaitu sekitar 11.40 pagi para peserta diberi peluang untuk sesi soal jawab sebagai ruang interaksi bersama tenaga pengajar bagi memperhalusi teknik vokal yang telah dipelajari. Bengkel berakhir sekitar jam 1.00 petang dengan sesi fotografi peserta bersama penceramah jemputan.

Peserta sedang mendengar teknik nyanyian yang diberikan oleh penceramah (Roger Kajol).

Penganjuran bengkel ini bukan sekadar platform pembelajaran tetapi juga membuka ruang kepada peserta untuk memperkasa keyakinan diri, menjalin hubungan dalam komuniti seni  dan mempromosikan bakat pelajar UPSI dan menjadikan UPSI sebagai salah satu institusi yang mengangkat aktiviti seni budaya. Program ini turut membantu dalam mengetengahkan bakat pelajar, pensyarah serta alumni ke peringkat yang lebih tinggi.