Serendah, 29 Mei 2025– Program pengukuhan integriti bersama komuniti hasil kerjasama di antara Unit Integriti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) UPSI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Asrama Kasih (ASKA) Serendah telah dilaksanakan di Asrama Kasih Serendah yang bernaung di bawah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Selangor.

Program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai nilai-nilai integriti dan antirasuah dalam kalangan komuniti, khususnya pelajar sekolah menengah supaya dapat membentuk jati diri generasi muda sebagai individu yang berprinsip dan beretika, yang menolak amalan rasuah serta salah laku. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memupuk budaya integriti secara inklusif melalui pendekatan kolaboratif antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat. Penganjuran program ini juga dapat membantu untuk menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam usaha pencegahan rasuah, selari dengan aspirasi negara ke arah tadbir urus yang bersih dan berakauntabiliti.


Program Pengukuhan Integriti Bersama Komuniti (iKOM) bertemakan ‘Cita-Citaku: Hero Integriti, Wira Antirasuah’ merupakan inisiatif proaktif Unit Integriti, UPSI dalam usaha memperkasakan nilai integriti dalam kalangan komuniti, khususnya generasi muda. Program ini bukan sahaja dapat memberi ruang kepada warga UPSI untuk mendekati masyarakat, malah turut dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan sahsiah dan pemupukan budaya antirasuah dalam kalangan komuniti setempat.
Melalui pendekatan berbentuk pendidikan, interaksi dan aktiviti berimpak tinggi ini, program ini diyakini mampu untuk membentuk kesedaran serta kefahaman yang lebih mendalam terhadap kepentingan integriti dalam kehidupan seharian. Usaha ini juga selari dengan matlamat nasional untuk melahirkan masyarakat yang beretika, berakauntabiliti dan bebas daripada budaya rasuah. Oleh itu, dengan sokongan padu daripada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran program ini, impian dan harapan universiti sebagai sebuah institusi pendidikan dalam membentuk sebuah komuniti yang bersih, berintegriti dan berwibawa demi kesejahteraan negara pada masa hadapan dapat direalisasikan.
