Oleh : Hikmah Hakimien Izzati

Tanjong Malim, 10 Jun 2025 – Program Clayra Kraf: Mengukir Alam, Menyulam Rasa anjuran Exco Blok Kediaman 3, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) sidang 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan jayanya pada 3 Jun 2025 bertempat di Dewan Harun Aminurrashid. Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 57 penghuni wanita  Blok 1 hingga Blok 4 KHAR.

Dengan bertemakan kreativiti dan ekspresi seni, objektif utama penganjuran Clayra Kraf adalah untuk mencungkil serta meningkatkan daya kreativiti dan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswi melalui dua aktiviti utama iaitu gubahan kraf bunga dan Clay Vibes.

Aktiviti ini telah memberikan ruang kepada peserta untuk menzahirkan kreativiti masing-masing melalui hasil seni yang menarik dan unik.

Program bermula seawal jam 8.00 malam dengan pendaftaran peserta, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi UPSI, Ibu Kandung Suluh Budiman.

Seterusnya, bacaan doa dan sesi energizing telah menyemarakkan semangat peserta sebelum memulakan aktiviti utama.

Antara pengisian utama ialah sesi Kraf Bunga yang memberi peluang kepada peserta untuk menghasilkan bunga hiasan menggunakan tuala kecil, manakala sesi Clay Vibes pula memfokuskan kepada pembentukan arca dan figura menggunakan tanah liat (clay), yang bukan sahaja menyeronokkan malah membantu meningkatkan kemahiran motor halus serta daya fokus peserta. Selain itu, sesi cabutan bertuah turut memeriahkan suasana.

Program diserikan dengan ucapan daripada Felo Penasihat KHAR 3 iaitu Pn. Norrulkamari Daud. Melalui ucapan, beliau berharap program seperti ini dapat meningkatkan lagi bakat serta kreativiti para penghuni selain dapat mengembangkan lagi kemahiran sedia ada yang lebih baik.

Selain itu juga turut diselitkan dengan ucapan pengarah program, Nurin yang berharap program seperti ini dapat dijalankan lagi bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penghuni.

Menurut salah seorang peserta iaitu Nur Amnah Zulkifli, program ini bukan sahaja menyeronokkan malah memberi ketenangan minda serta membuka ruang untuk mereka berkreativiti dalam suasana santai dan harmoni. Program ini juga menjadi platform untuk merapatkan ukhuwah sesama penghuni kolej melalui aktiviti seni yang santai dan interaktif.

Program berakhir dengan sesi penyampaian hadiah kepada peserta gubahan Kraf Bunga. Pemenang membawa pulang sijil penghargaan dan hamper.

Dengan semangat menyertai prgram ini mampu memberi peluang kepada mahasiswi untuk meluangkan masa dengan aktiviti berfaedah di samping dapat mengenali sesama peserta. Tidak lupa juga sesi fotografi bersama semua yan hadir.

Tahniah diucapkan kepada seluruh barisan jawatankuasa pelaksana atas penganjuran program yang berjaya dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penghuni KHAR khususnya penghuni blok 3 Sakura. Program seperti ini wajar diteruskan demi pembangunan holistik pelajar dalam aspek kreativiti, emosi dan sosial.