Oleh: Ku Muhammad Arif
Tanjung Malim, 25 Mei 2025 – Pertandingan KHAR Chess Open telah berlangsung secara bersemuka di Perpustakaan Tunku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini berjaya menarik lebih daripada 80 peserta. Permainan secara berkumpulan iaitu 1 kumpulan mewakili 4 orang peserta dan telah menerima 20 kumpulan. Peserta-peserta terdiri daripada para pelajar, kakitangan universiti dan orang awam. Penganjuran pertandingan ini adalah bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan catur di samping memupuk minat yang semakin berkembang terhadap permainan ini, khususnya dalam kalangan warga UPSI. Aktiviti ini secara tidak langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, dengan memberi ruang kepada pelajar dan masyarakat untuk mengembangkan potensi diri melalui aktiviti pembelajaran tidak formal yang melibatkan pemikiran aras tinggi dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Kolej Harun Aminurrashid, UPSI dengan kerjasama bersama Kelab Catur UPSI memainkan peranan penting dalam merancang dan memastikan kelancaran program dari awal hingga akhir. Usaha bersama ini mencerminkan semangat kolaboratif mahasiswa UPSI dalam menjayakan program yang membina sahsiah dan intelek, selaras dengan hasrat universiti melahirkan graduan yang holistik dan berketerampilan.


Para peserta telah mempamerkan pelbagai teknik dan kemahiran dalam usaha menewaskan lawan masing-masing. Setiap pergerakan buah catur dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati, mencerminkan tahap disiplin serta tumpuan yang tinggi. Suasana hening yang menyelubungi Perpustakaan Tunku Bainun sepanjang pertandingan turut menggambarkan keseriusan peserta dalam setiap perlawanan.


Majlis Penutup Pertandingan KHAR Chess Open telah berlangsung pada jam 2.30 petang dan diserikan dengan kehadiran Nurul Najwa Mohamad, Felo Blok Kediaman 2, serta Shahrul Bahktiar Abdul Aziz, Ketua Arbiter merangkap Penasihat Kelab Catur UPSI. Penganjuran program seperti KHAR Chess Open ini amat bertepatan dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah, kepimpinan dan pemikiran kritikal. Inisiatif ini turut menyokong gagasan Malaysia MADANI, khususnya dalam nilai teras Ilmu, Inovasi dan Ihsan, dengan mendorong penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti intelektual yang membina jati diri dan memperkukuh budaya ilmu. Ia mencerminkan komitmen UPSI terhadap pembangunan pelajar secara holistik, selaras dengan matlamat pendidikan nasional dan aspirasi negara untuk membentuk generasi yang berwibawa dan berdaya saing.

