Oleh: Nik Nurul Athirah Mohd Fikri

Tanjong Malim, Perak– Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi merupakan satu nilai murni yang boleh diterjemahkan melalui tindakan setiap individu. Inilah prinsip yang mendasari penganjuran Program Eksplorasi Rukun Negara: SRN Dari Hati ke Hati, Gerak Amal Mewujudkan Perpaduan anjuran Sekretariat Rukun Negara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Pengarah Program, Nor Amalin Sofiya Azhar. Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk KRT Jalan Ketoyong, KRT Tanjong Malim, Masjid Jamek Tanjong Malim, Persatuan Mahasiswa Sains Pertanian (PERSSAP) serta Kelab Rehabilitasi Sukan dan Barberbus, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV).

Menariknya, program ini bukan sahaja melibatkan mahasiswa UPSI, bahkan turut menghimpunkan penyertaan daripada dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain di Perak iaitu SRN UiTM Cawangan Tapah dan SRN Politeknik Ungku Omar dengan penyertaan seramai sembilan orang. Kehadiran wakil dari institusi berbeza ini membuktikan bahawa perpaduan mampu dicapai melalui kerjasama rentas institusi, meskipun berlainan tempat dan latar belakang. Lebih istimewa, penyertaan dalam program ini turut melibatkan pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India, sekali gus mencerminkan semangat muhibah dan perpaduan kaum yang utuh.

Program ini berlangsung selama dua hari satu malam dengan pelbagai aktiviti menarik yang mendapat sokongan daripada Dr. Mohd Syariefudin Abdullah, Penasihat Sekretariat Rukun Negara, UPSI. Aktiviti yang dijalankan melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan usia, menjadikan program ini lebih inklusif dan bermakna.

Selain itu, gotong-royong kawasan persekitaran telah dijalankan secara menyeluruh termasuk menghapuskan tempat berisiko pembiakan nyamuk aedes, sekali gus menyumbang kepada pencegahan penyakit berjangkit seperti demam denggi. Aktiviti ini telah diketuai oleh Tan Yik Foon. Ia bukan sahaja merupakan aktiviti pembersihan rutin, malah memberi impak besar kepada kesejahteraan penduduk setempat. Sebagai langkah sokongan, pihak kami turut menyediakan dan mengedarkan risalah maklumat berkaitan nyamuk aedes serta langkah-langkah pencegahannya kepada penduduk setempat bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mereka.

Aktiviti kedua diberi nama Haruman Kasih, Sentuhan Perpaduan, dikendalikan oleh dua orang tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang pembuatan sabun, iaitu Prof. Madya Dr. Saripah Salbiah Syed Abdul Aziz dan Prof. Madya Dr. Hasimah Alimon. Aktiviti ini melibatkan golongan ibu, dengan objektif untuk memperkenalkan pembuatan sabun menggunakan bahan semula jadi seperti minyak masak serta herba sebagai bahan pewangi dan pewarna. Selain mendorong gaya hidup lestari, aktiviti ini juga membuka peluang kepada keusahawanan kecil-kecilan yang berpotensi pada masa hadapan.

Sentuhan Warna, Lukisan Kasih merupakan aktiviti mengecat dinding Dewan Pusat Rukun Tetangga Ketoyong yang dilaksanakan dengan semangat gotong-royong antara mahasiswa, ahli KRT dan penduduk setempat. Aktiviti ini bukan sahaja bertujuan menceriakan dan memperindah ruang fizikal dewan, malah menjadi simbol kasih sayang serta kepedulian terhadap komuniti. Setiap sapuan berus membawa makna mendalam malah dapat mencerminkan semangat kebersamaan, keterlibatan pelbagai lapisan masyarakat dan usaha menyemai keharmonian sejajar dengan nilai-nilai Rukun Negara. Warna biru muda yang dipilih merupakan warna ceria yang digunakan untuk menyerlahkan keindahan serta menjadikan dewan sebagai ruang inklusif yang mencerminkan identiti komuniti yang bersatu hati dan saling menyokong antara satu sama lain.

Tidak dilupakan komuniti cilik yang bakal menjadi pewaris negara, program ini turut menyediakan ruang buat mereka melalui aktiviti Gema Tradisi, Irama Perpaduan. Aktiviti ini memperkenalkan kanak-kanak kepada permainan tradisional Melayu seperti congkak, di samping memberi pendedahan tentang sejarah dan asal-usulnya yang dipercayai bermula dari Afrika atau Arab dan berkembang ke Asia melalui pedagang, sebelum sampai ke Tanah Melayu melalui negeri Melaka. Aktiviti ini bukan sahaja mengekalkan warisan budaya, malah mendidik generasi muda tentang nilai sejarah dan kebersamaan yang terkandung dalam permainan tradisional.

Keempat-empat aktiviti yang dijalankan serentak ini membawa objektif tersendiri yang akhirnya menuju matlamat sama iaitu memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menekankan kepentingan membina masyarakat inklusif, sejahtera dan bersatu padu tanpa mengira kaum atau status.

Program yang memfokuskan kepada hubungan erat antara mahasiswa dan masyarakat ini turut menjadi pemangkin kepada perubahan sosial yang positif. Ia bukan sahaja mengeratkan perpaduan kaum, tetapi turut menyemai semangat patriotisme dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. Dengan pelaksanaan program sebegini, mahasiswa tidak hanya berpeluang untuk berbakti kepada masyarakat, malah dapat mempersiapkan diri sebagai generasi yang bakal menjadi tonggak negara pada masa hadapan.