Tanjong Malim, 31 Mei 2025 – Dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa terhadap risiko penipuan pembelian dalam talian, satu program SULAM bertajuk “Smart Swipe, Beli Selamat!” telah dianjurkan dengan jayanya di Dewan Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 31 Mei 2025.


Program ini merupakan inisiatif mahasiswa daripada kursus Cybersecurity Awareness (DSC2013) di bawah Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT). Ia dipimpin oleh Nor Arissa Kausar Nazaruddin selaku Pengarah Program, dengan bimbingan pensyarah kursus, Ts. Salman Firdaus Sidek. Seramai 10 orang mahasiswa turut bertindak sebagai jawatankuasa pelaksana yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran program seiring dengan objektif program yang berfokuskan kepada membantu mahasiswa mengenal pasti taktik penipuan siber.


Antara aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program termasuk sesi “Sharing Talk”. Aktiviti ini adalah mengenai pendedahan tentang keselamatan transaksi atas talian. Jawatankuasa pelaksana telah menerangkan lebih lanjut berkaitan cara yang selamat pembelian atas talian agar objektif program berjaya dicapai. Dalam sesi ini, mahasiswa juga dibenarkan untuk menceritakan pengalaman mereka sewaktu ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.


Aktiviti pengedaran flyers yang mengandungi maklumat berkaitan cara selamat beli online turut dilakukan. Hal ini bertujuan untuk menggalakkan mahasiswa lebih cakna akan isu yang sedang diketengahkan. Gabungan sesi ”Sharing Talk” dengan tambahan pengedaran flyers dilihat mendorong mahasiswa untuk memahami lebih mendalam berkaitan program ini.

Jawatankuasa pelaksana juga telah menyediakan kuiz interaktif “Froggy Jump”. Kuiz ini adalah bagi memperkukuhkan pengetahuan mahasiswa agar terhindar daripada menjadi mangsa penipuan. Hasil tinjauan mendapati bahawa melalui kuiz ini mahasiswa dilihat peka terhadap isu tersebut kerana pemerolahan data kuiz menunjukkan keputusan yang positif. Akhir sekali, jawatankuasa pelaksana juga menyediakan kod QR bagi pengisian borang maklum balas dalam talian agar dapat mengukur tahap kesedaran mahasiswa terhadap isu yang dikemukakan.

Program ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada para mahasiswa dan berjaya meningkatkan pemahaman mereka terhadap teknik penipuan yang sering berlaku dalam urus niaga atas talian. Melalui aktiviti yang bersifat interaktif dan informatif, mahasiswa didedahkan kepada langkah berjaga-jaga yang wajar diambil semasa melakukan pembelian digital, sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan siber.
Secara keseluruhannya, keberkesanan program ini dapat dilihat melalui peningkatan kesedaran dalam kalangan mahasiswa berkaitan keselamatan siber serta maklum balas positif yang diterima daripada mahasiswa. Inisiatif ini juga membuktikan bahawa pendidikan dan pendedahan awal mengenai isu keselamatan digital amat penting dalam membentuk pengguna internet yang lebih bijak dan bertanggungjawab.