Tanjong Malim, 13 Jun 2025 – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada Kursus Kesedaran Keselamatan Siber (DSC2013), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), telah menganjurkan satu program berimpak tinggi bertajuk Forum Santai Deepfake: “Riyal” or Fake? bertempat di Dewan Kuliah 02, e-Learning KSAJS.

Program yang berlangsung secara santai dan interaktif ini merupakan inisiatif pembelajaran servis komuniti (SULAM) yang bertujuan meningkatkan literasi digital serta kesedaran terhadap bahaya teknologi deepfake dan pencurian identiti dalam kalangan warga kampus. Seramai 20-35 peserta daripada pelbagai fakulti telah mengambil bahagian dalam program ini yang diisi dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan dan bermaklumat.

Menampilkan dua panel jemputan iaitu Dr.  Ahmad Uzairi bin Mazlan, Pensyarah Meta-Teknologi FKMT, dan Cik Raja Nur Aliesa binti Raja Husain, Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sesi 2023/2024, forum ini membuka ruang perbincangan mengenai penyalahgunaan teknologi manipulasi media serta langkah-langkah keselamatan yang wajar diamalkan dalam dunia digital masa kini.

Menurut laporan firma keselamatan siber Sensity AI, jumlah video deepfake yang dikenalpasti secara global meningkat lebih daripada 75,000 buah pada tahun 2023, meningkat secara drastik berbanding hanya 7,964 video pada tahun 2019. Penipuan menggunakan deepfake kini bukan sahaja digunakan untuk tujuan hiburan, malah turut digunakan dalam penipuan kewangan, penyebaran maklumat palsu, dan pencemaran reputasi.

Menurut salah seorang peserta, Siti Nur Azlinda binti S. Ahmad Zubaida, program ini sangat bermanfaat kerana membantu pelajar membezakan antara kandungan sebenar dan kandungan palsu yang dihasilkan oleh teknologi AI generatif. “Ilmu dapat, hadiah pun dapat, kawan pun dapat sebab peserta datang dari pelbagai fakulti,” tambah beliau dengan penuh semangat.

Program turut dimeriahkan dengan aktiviti seperti Guess the Impostor, cabaran “Riyal” or Fake?, kuiz Kahoot dan sesi cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik. Suasana mesra dan interaktif berjaya menarik perhatian peserta sambil mendidik mereka menjadi pengguna digital yang lebih bijak dan beretika.

Menurut Pengarah Program, Alifah Ilyana binti Arudin, pelaksanaan program ini bukan sahaja memenuhi keperluan kursus akademik tetapi juga mengukuhkan kemahiran insaniah pelajar melalui interaksi bersama komuniti kampus. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada panel jemputan serta semua peserta atas kerjasama yang diberikan.

Menariknya, program ini turut disiarkan secara langsung melalui platform TikTok dan telah berjaya meraih lebih 800 tontonan secara langsung, membuktikan minat serta keprihatinan masyarakat terhadap isu keselamatan digital dan teknologi deepfake dalam kalangan generasi muda.

Forum ini membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman seperti SULAM mampu melahirkan mahasiswa celik teknologi dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan siber di era kecerdasan buatan.