Oleh: Muhammad Shamir bin Zulkifli
1 Jun 2025, Shah Alam – Program lawatan Industri Menyelusuri Proses Pembuatan Komponen Automotif telah disertai seramai 44 orang pelajar yng terdiri daripada dua program Ijazah Sarjan Muda Pendidikan Rika Cipta dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian, Semester 6, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke PHN Industry Sdn. Bhd. Iaitu sebuah syarikat terkemuka yang terletak di kawasan Perindustrian HICOM, Shah Alam, Selangor. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai proses pembuatan komponen automotif serta amalan terbaik dalam pengurusan industri.

Kunjungan ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga untuk para pelajar, di mana mereka berpeluang untuk melihat secara langsung aktiviti-aktiviti praktikal yang berkaitan dengan kursus yang diambil. Program lawatan ini juga sejajar dengan pembelajaran dalam kursus VDC 3063 Reka Bentuk Industri & Keusahawanan, yang diajar oleh Ir. Dr. Azizul Qayyum bin Basri, seorang pakar dalam bidang pembuatan kenderaan komersial di Malaysia. Ir. Dr. Azizul juga merupakan bekas pekerja PROTON yang berpengalaman luas dalam bidang ini.
Pengurusan Proses yang Teratur dan Berkesan
Salah satu aspek yang menarik perhatian pelajar adalah bagaimana syarikat ini mengendalikan proses-proses pengeluaran mereka dengan sangat teratur dan efisien. Walaupun PHN Industry Sdn. Bhd. menghasilkan lebih kurang 2000 komponen metal stamping, setiap produk diatur dan dilabel dengan terperinci, memudahkan pengurusan dan pemantauan. Proses-proses utama yang dilalui dalam pembuatan komponen automotif ini termasuklah Metal Stamping, Welding Assembly, Roll Forming, Laser Cutting, serta pemeriksaan kualiti dan pembungkusan.

Selain itu, para pelajar juga diperkenalkan kepada jabatan-jabatan utama di syarikat ini, termasuklah Research & Development (R&D), Tooling Processes Development, dan Safety. Setiap jabatan memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dan keselamatan operasi, di samping memastikan produk yang dihasilkan memenuhi piawaian kualiti yang tinggi.
Peningkatan Berterusan dan Penjimatan Kos
Salah satu elemen penting yang ditekankan sepanjang lawatan ini adalah usaha berterusan syarikat dalam meningkatkan proses pembuatan. Banyak aktiviti penambahbaikan telah dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan dan mencapai penjimatan dalam kos pengeluaran. Di samping itu, pengurusan bahan mentah yang cekap juga menjadi fokus utama, dengan bahan-bahan seperti metal cutting sheet dan mother coil yang digunakan secara optimum.
Pelajar juga diberi penerangan mengenai cara syarikat menentukan kos produk mereka kepada pelanggan, di mana setiap komponen diukur dengan teliti melalui sistem Bill of Materials (BOM). Ini membantu syarikat menawarkan harga yang berpatutan dan sesuai dengan kualiti produk yang dihasilkan.
Semasa lawatan, para pelajar berpeluang untuk melawat beberapa pusat operasi utama di syarikat ini. Antaranya termasuklah Proses Penerimaan Material, Proses Pemotongan, Roll Forming, Metal Stamping, Welding, Laser Cutting, serta Proses Pembungkusan dan Penghantaran. Setiap proses ini dilaksanakan dengan teliti dan disokong oleh teknologi terkini untuk memastikan hasil yang terbaik.

Harapan agar lawatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyaksikan secara langsung bagaimana teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah dapat diterapkan dalam dunia industri sebenar. Ia juga memberikan pendedahan yang sangat berguna kepada pelajar mengenai amalan terbaik dalam pengurusan operasi dan proses pembuatan, serta pentingnya peningkatan berterusan dalam sektor industri. Diharapkan pengalaman ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar dalam mengejar kecemerlangan dalam bidang reka bentuk industri dan keusahawanan di masa hadapan. Jutaan terima kasih tidak terhingga kepada pihak syarikat kerana telah menerima lawatan kami dan layanan mersa oleh kakitangan dan pihak pengurusan tidak akan kami lupakan.
