Sitiawan, Perak – Program Bakti Madani @ Kampung Pasir Panjang Laut telah berjaya dilaksanakan pada 19 hingga 22 Jun 2025, menghimpunkan seramai hampir 60 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama 25 keluarga angkat dari Kampung Pasir Panjang Laut. Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Asmadi bin Teh, Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi. Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin dan YBhg. Dato’ Haji Rashidi bin Ibrahim, Pegawai Khas Menteri Pengajian Tinggi.

Program empat hari ini bertujuan untuk menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan turun padang dan khidmat bakti kepada masyarakat luar bandar. Ia juga berfungsi sebagai platform untuk mahasiswa memahami budaya setempat, di samping memupuk semangat perpaduan dan tanggungjawab sosial.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program berlangsung. Antara yang mencuri tumpuan ialah aktiviti gotong-royong melukis mural di sekitar kampung yang menceriakan kawasan awam dengan mesej positif dan nilai estetika. Di samping itu, aktiviti penanaman pokok telah dijalankan sebagai usaha ke arah pemeliharaan alam sekitar dan menyemai kesedaran kelestarian dalam kalangan peserta dan penduduk kampung.

Sukan bola sepak dan bola jaring turut dianjurkan bagi merapatkan hubungan antara mahasiswa dan penduduk kampung melalui semangat kesukanan yang sihat. Pertandingan tersebut berlangsung meriah dan disambut dengan penuh semangat oleh peserta dari kedua-dua pihak. Aktiviti sukarelawan bersama komuniti seperti membersihkan kawasan rumah ibadah, menziarahi warga emas dan aktiviti pendidikan bersama pelajar turut memberi impak mendalam kepada semua peserta.

Program turut mencapai kemuncaknya dengan penganjuran kenduri rakyat yang menyatukan seluruh penduduk kampung dan mahasiswa dalam suasana harmoni, penuh silaturrahim serta semangat kekampungan.

Menurut salah seorang penduduk kampung, program seumpama ini amat dialu-alukan kerana mampu merapatkan jurang antara generasi serta memperkenalkan cara hidup masyarakat luar bandar kepada generasi muda.

Sementara itu, Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin turut menyatakan penghargaan kepada komuniti Kampung Pasir Panjang Laut atas sambutan mesra dan komitmen tinggi dalam menjayakan program. Beliau menzahirkan harapan agar program seperti ini diteruskan dan dijadikan model penglibatan masyarakat berimpak tinggi oleh UPSI.

Program ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah turut mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi serta prihatin terhadap pembangunan masyarakat sekeliling.