Oleh: Bibi Aifa Insyirah Jaiyudi & Rachel Bulan Phang Lee Mei
Tanjong Malim, 20 Jun 2025– Persatuan Geografi (PERGEO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program Yasin Al-Mawaddah pada 20 Jun yang dikendalikan oleh Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah PERGEO sidang 2024/2025 yang melibatkan aktivis-aktivis PERGEO dari Semester 2 hingga Semester 7. Bertemakan ‘Satu Langkah Seribu Doa’, penganjuran ini bertujuan untuk memohon keberkatan serta keredaan Allah SWT melalui bacaan Yasin dan Solat Hajat khusus buat para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.
Program ini telah berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 10.00 malam bertempat di Surau Al-Falah, Kolej Aminuddin Baki (KAB), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI. Selain itu, program ini bertujuan untuk memberi ruang kepada para pelajar untuk memohon kemaafan, nasihat serta restu daripada para pesyarah sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada jasa mereka. Program ini juga diharap dapat menyuntik semangat, keyakinan dan kekuatan rohani dalam kalangan pelajar untuk menghadapi peperiksaan dengan penuh ketegangan dan iltizam.

Seramai 125 orang peserta telah menyertai program ini dan turut dihadiri oleh dua orang pensyarah dari Jabatan Geografi iaitu Dr. Mohammad Azri Amatan sebagai perasmi program dan Dr. Nor Shahida Azali. Program ini dimulakan dengan Solat Isyak serta Solat Hajat berjemaah dan diteruskan dengan bacaan yasin yang dipimpin oleh Mohd Badruzzaman Hazeman. Para aktivis juga bersalam-salaman dengan pensyarah yang hadir bagi memohon kemaafan dan restu bagi mendapatkan keberkatan ilmu yang telah dipelajari.
Selepas bacaan Yasin selesai, Timbalan Yang Di-Pertua 1 Persatuan Geografi sidang 2024/2025 iaitu Nik Muhammad Amar Fitri Nik Mohd Rosdi menyampaikan ucapan alu-aluan. Beliau berkata “Majlis ini bukan sekadar sebuah acara tetapi suatu simbol harapan dan tawakal kita kepada Ilahi setelah kita berusaha menuntut ilmu sekian lama. Dalam subjek Geografi yang kita pelajari, kita diajar tentang bumi, ruang, manusia, dan interaksi antara keduanya. Namun, di sebalik segala teori dan fakta jangan kita lupa bahawa keberkatan ilmu juga amat penting.”
Dr. Mohammad Azri mengucapkan tahniah kepada PERGEO atas inisiatif menganjurkan program yang dapat membentuk para pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi juga dari segi adab dan akhlak. Setelah selesai perasmian program, sesi memohon restu ilmu antara aktivis PERGEO dengan pensyarah dilakukan di mana sesi ini amat bermakna untuk memperoleh restu sebelum menduduki peperiksaan.
Diharapkan melalui penganjuran program Bacaan Yasin Al-Mawaddah: Satu Langkah, Seribu Doa ini dapat memberi semangat, keyakinan serta kekuatan rohani dalam melakukan persediaan menduduki peperiksaan kepada aktivis PERGEO. Justeru itu, program ini bukan hanya memberi ruang kepada aktivis memperolehi restu ilmu dari pensyarah tetapi turut mendekatkan diri kepada Allah SWT.
