oleh : Nur Fareena Dzulkifli, Fararovila Anak Aji, Mahzuz Irfan Asmad

Tanjong Malim, 18 Mei 2025 – Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melalui Majlis Mahasiswa Kolej (MMKAB), telah menganjurkan program Open Day College iaitu Festivibe KAB yang berlangsung meriah selama tiga hari berturut-turut bertempat di Tapak Pesta KAB.

Penganjuran Festivibe kali ini amat bermakna kerana ia menandakan kemunculan semula program Open Day KAB yang telah lama tidak dijalankan. Usaha ini digerakkan oleh Exco Media dan Publisiti MMKAB dan disokong oleh beberapa syarikat serta anak syarikat yang menjadi rakan kolaborasi utama program.

Sepanjang tiga hari pelaksanaan, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, merangkumi bidang akademik, kebajikan, kesenian, teknologi, sukan dan hiburan. Antaranya ialah Slot Mini STEM untuk pelajar sekolah rendah, Pameran EduFin, ceramah Seni Mengenal Dunia Maya, serta pertandingan e-sukan Mobile Legends yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar UPSI

Aktiviti berbentuk kemasyarakatan dan kebajikan turut diberi penekanan menerusi Slot Sumbangan Kasih KAB yang mengagihkan bantuan makanan kepada pelajar memerlukan serta Program Derma Darah dengan kerjasama Hospital Slim River, yang berjaya mengumpul lebih 50 penderma.

Festivibe juga menjadi platform untuk mencungkil bakat dan idea kreatif pelajar menerusi pertandingan Pitching Bangga UPSI, di samping aktiviti Jelajah Sukan Tradisional yang mengimbau nostalgia permainan zaman dahulu seperti galah panjang dan baling kelapa. Pertandingan Gunting Rambut turut mencuri perhatian apabila bakat pelajar dalam bidang dandanan diberi pengiktirafan oleh panel juri profesional.

Kemuncak hiburan sepanjang tiga malam diwarnai dengan persembahan artis terkenal seperti Shidi (kumpulan DATA) dan Ara Johari, yang berjaya memukau penonton dengan persembahan bertenaga serta menghidupkan suasana festival.

Selain itu, program Capybara Run sejauh 5.5 km turut diadakan dengan penyertaan daripada pelajar, pensyarah dan komuniti setempat. Pertandingan Sajak melengkapkan lagi variasi aktiviti Festivibe dengan mengetengahkan ekspresi seni dan pemikiran kreatif pelajar.

Menurut Pengarah Program, Fararovila anak Aji, Festivibe KAB menjadi bukti bahawa mahasiswa UPSI mampu menganjurkan program berskala besar dengan penuh profesionalisme dan semangat kerjasama. Beliau turut menyatakan harapan agar Festivibe dijadikan acara tahunan KAB yang lebih besar dan bermakna pada masa akan datang.

Tapak gerai makanan yang dikendalikan oleh FoodRepublic juga menjadi tarikan utama, menawarkan pelbagai pilihan makanan yang digemari pelajar dan pengunjung luar.

Festivibe KAB 2025 membuktikan bahawa program sebegini bukan sekadar sambutan terbuka, tetapi medan pembangunan sahsiah dan bakat mahasiswa, di samping mengeratkan hubungan komuniti kampus dalam suasana yang penuh keceriaan dan bermanfaat.