Oleh : Nurul Hafizah Zulfah, Sherillyn Purai Malang, Mohamad Zulhakim

TANJUNG MALIM, 9 December 2024 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Monday Food Fest, sebuah program jualan besar-besaran yang bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menikmati pelbagai jenis jualan secara langsung sambil memberi pendekatan dalam bidang keusahawanan daripada peniaga-peniaga kecil.

Program ini diadakan secara berkala iaitu pada setiap hari isnin dan bertempatan di kawasan Kolej Aminuddin Baki.

Program ini melibatkan lebih daripada 50 peniaga luar yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman, dari hidangan tempatan hingga antarabangsa dan juga jualan barangan seperti pakaian dan perhiasan.

Kehadiran peniaga luar ini bukan sahaja memudahkan para pelajar untuk mendapatkan makanan dan barangan yang mereka inginkan dengan mudah, tetapi juga memberi sokongan kepada perniagaan kecil tempatan.

Selain itu, program ini turut memberi manfaat kepada para pelajar menjana pendapat kerana peluang kerja sambilan yang ditawarkan di gerai-gerai yang terlibat dalam program ini.

Pelajar diberi peluang untuk bekerja di gerai-gerai tersebut dan menerima upah, sekaligus memberi mereka peluang untuk mendapatkan pendapatan tambahan sambil mempelajari aspek praktikal dalam dunia perniagaan.

Monday Food Fest bukan hanya memberi peluang kepada pelajar untuk menikmati makanan dan bekerja sambilan, tetapi juga membuka peluang bagi mereka yang berminat untuk terlibat dalam aktiviti jualan.

Para pelajar dapat berinteraksi dengan pelanggan, belajar menguruskan jualan, serta memperluas kemahiran mereka dalam bidang pemasaran dan pengurusan.

Sebagai contoh, seorang pelajar, Nurul Aina, berkata, program ini sangat membantu saya mengasah ‘soft skill’ yang ada dalam diri saya dengan belajar mempromosikan jualan dan berinteraksi dengan ‘customer’ sementara dapat menambah pendapatan saya di luar waktu kuliah.”

Tambahan lagi, program yang dijalankan secara berkala setiap hari Isnin, memberikan peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam acara ini setiap minggu.

Dengan konsep yang konsisten dan berulang ini, Monday Food Fest menjadi satu acara yang dinanti-nantikan oleh para pelajar dan warga universiti.

Setiap minggu, program ini terus berkembang dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman yang lebih menarik dan turut disediakan tempat dan ruang untuk slot tayangan perdana kepada para pengunjung.

Sambutan yang sangat hebat daripada seluruh pelajar UPSI menjadikan acara ini antara acara yang paling dinanti-nantikan di Kolej Aminuddin Baki.

Selain itu, Monday Food Fest turut mendapat kunjungan daripada orang luar, yang menjadikan program ini lebih meriah dan memperkenalkan kolej serta universiti kepada masyarakat sekitar.

Kunjungan daripada orang luar juga memberi peluang kepada peniaga untuk memperluaskan jaringan perniagaan mereka dan memperkenalkan produk mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Dengan sokongan berterusan daripada pihak universiti, peniaga, dan masyarakat sekitar Tanjung Malim, Monday Food Fest diharapkan dapat memberi impak positif kepada pembangunan keusahawanan di kalangan mahasiswa UPSI.

Penganjur yakin bahawa program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, tetapi juga akan membuka lebih banyak peluang kepada peniaga dan mahasiswa untuk berkembang bersama dalam bidang keusahawanan, sekaligus merancakkan ekonomi tempatan dan memperkukuhkan lagi hubungan universiti dengan komuniti setempat.