oleh: Nurin Aqilah

Slim River, 16 Jun 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan komitmennya dalam memperkasa pendidikan berteraskan inovasi dan kelestarian melalui penganjuran Program KUO INNOSTEM bertempat di SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, Slim River, Perak.

Program ini merupakan inisiatif Exco Media, Publisiti dan Informasi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sesi 2024/2025 dengan kerjasama Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI.

Program ini memberi tumpuan kepada pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) melalui pendekatan lestari dan praktikal, khususnya dalam pengurusan sistem akuaponik yang menggabungkan penternakan ikan dan pertanian tanaman dalam satu ekosistem yang seimbang.

Pendekatan ini menyasarkan pelajar sekolah menengah bagi membentuk kesedaran awal tentang teknologi hijau dan penggunaan sumber secara mampan.

Program yang berimpak ini telah melibatkan 57 pelajardari SMK Dato’ Zulkifli Muhammad. Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk sesi demonstrasi sistem akuaponik, bengkel pembinaan mini ekosistem,perkongsian interaktif mengenai pertanian lestari, dan pameran inovasi pertanian yang mengetengahkan teknologi terkini dalam bidang penghasilan makanan secara mampan.

Penyertaan yang memberangsangkan mencerminkan minat mendalam dan rasa ingin tahu yang tinggi dalam kalangan pelajar untuk meneroka bagaimana sistem akuaponik dan pertanian ini berfungsi.

Ia bukan sahaja membuka peluang pembelajaran baharu, malah berpotensi mengubah landskap persekitaran ke arah yang lebih lestari dan kondusif untuk kesejahteraan masyarakat.

Menariknya, peserta turut diberi peluang merasai pengalaman secara langsung dalam mengendalikan sistem akuaponik termasuk menguji keseimbangan pH air, mengenal pasti keperluan nutrien tanaman serta aspek penjagaan ikan.

Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menambah kefahaman pelajar terhadap konsep STEM secara praktikal.

Pendedahan awal kepada aktiviti akuaponik dan ekosistem seumpamanya kepada para pelajar, khususnya golongan muda, merupakan langkah bermakna yang mampu menyemai kesedaran hijau dan melahirkan generasi berwawasan.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi impak positif kepada mereka secara peribadi, malah turut menjadi pemangkin kepada pembangunan negara yang lestari dan mampan.

Salah satu segmen yang menarik perhatian ialah Sistem Akuaponik, yang memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari konsep reka bentuk sistem lestari yang efisien menggunakan bahan terpakai.

Pelajar dapat menghayati inovasi teknologi hijau serta memahami bagaimana ilmu teori diaplikasikan dalam amalan sebenar tanpa perlu terlibat secara langsung dalam pembinaan sistem tersebut.

Menurut salah seorang peserta program, dalam ucapannya “Program sebegini bukan sekadar membuka mata para pelajar terhadap dunia pertanian moden, malah menjadi platform baharu untuk mereka menerokai sistem akuaponik secara lebih mendalam dan interaktif.

Keunikan ekosistem ini menyerlahkan potensi besar dalam mewujudkan persekitaran yang bukan sahaja selamat, tetapi juga menyumbang kepada keseimbangan flora dan fauna secara semula jadi.

Bagi saya dan rakan-rakan, ini merupakan pengalaman yang amat bermakna dalam memperkayakan ilmu tentang alam sekitar dan inovasi hijau”.

Jelaslah bahawa program ini telah memberikan pengalaman yang berharga kepada para pelajar.

Danial Rosli, Pengarah Program dalam ucapannya setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini.

Kejayaan penganjuran yang lancar ini bukan sahaja mencerminkan kerjasama yang mantap, malah meninggalkan kesan mendalam serta impak positif kepada setiap peserta yang terlibat.

Beliau turut menekankan bahawa program sebegini bukan sahaja berperanan mengukuhkan jalinan kerjasama antara pelbagai pihak, malah menjadi medium yang berkesan untuk memperkenalkan sistem akuaponik kepada para pelajar yang belum atau kurang terdedah dengannya.

Pendedahan awal ini diyakini mampu memberi pelbagai manfaat jangka panjang kepada komuniti dan pembangunan lestari.

Program KUO INNOSTEM turut selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).

Melalui pendekatan menyeluruh ini, pelajar bukan sahaja menerima ilmu tetapi juga dididik untuk berfikir secara kritikal dan bertindak secara lestari.

Secara keseluruhannya, Program KUO INNOSTEM bukan sahaja program yang berilmiah kepada para pelajar malahan juga menjadi platform pengenalan sistem ekosistem yang baharu.

Diharapkan agar program seperti ini dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah lain sebagai sebahagian daripada usaha menyemai minat terhadap inovasi dan kelestarian alam sekitar sejak usia muda.